
SABAHTODAY
KOTA KINABALU: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah dijangka meletakkan Ketua Penerangan, Khairul Firdaus Akhbar Khan untuk bertanding di Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Batu Sapi.
Sinar Harian yang melaporkan kenyataan sumber berkata, Khairul Firdaus akan diletakkan bertanding bagi memenuhi permintaan akar umbi parti.
“Kalau diikutkan, tidak wajar diberi sepenuhnya kepada Warisan untuk bertanding, kena bertanding juga. Tetapi haruslah diadakan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang lebih ketat berbanding Pilihan Raya Negeri (PRN) baru-baru ini.
“Setakat ini, insyaALLAH ada sudah calon, mungkin Ketua Bersatu Bahagian Batu Sapi, Khairul Firdaus Akbar Khan, sekarang pun mereka sibuk mengagihkan bakul makanan koronavirus (Covid-19) tetapi bukan bermaksud untuk berkempen,” katanya seperti dilaporkan Sinar Harian.

Jika perkara tersebut benar, timbul persoalan tentang keikhlasan Bersatu pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam membendung pandemik Covid-19 daripada terus merebak.
Sebelum ini, beberapa parti utama seperti Barisan Nasional (BN) dan PBS telah membuat keputusan untuk tidak bertanding.
Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hassan turut menggesa semua parti memberikan kemenangan tanpa bertanding kepada Parti Warisan Sabah (Warisan) agar kempen tidak perlu dijalankan.
Sementara itu, seorang lagi sumber mengatakan perkara itu belum disahkan namun nama calon untuk PRK Batu Sapi sudah disebut sejak dua minggu lalu.
“Sebenarnya ia adalah permintaan jentera akar umbi untuk mencadangkan Khairul Firdaus tetapi beliau sendiri berkata tidak pasti sama ada diberi peluang atau tidak memandangkan kes Covid-19 kini sedang meningkat.
“Kami d iakar umbi cuma mencadangkan, namun setakat ini belum ada yang menyerahkan nama beliau ke pimpinan tertinggi.
“Namun jika beliau dijadikan calon, kami bersedia menyokong,” katanya.
PRK Batu Sapi diadakan pada 5 Disember depan selepas penyandangnya daripada Warisan, Datuk VK Liew meninggal dunia.
Penamaan calon ditetapkan pada 23 November ini.