
KOTA KINABALU: Jumlah mangsa banjir di tiga daerah di Sabah iaitu Kudat, Kota Marudu dan Pitas meningkat kepada 746 orang daripada 225 keluarga, setakat 8 malam Isnin.
Menurut kenyataan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah, kesemua mangsa ditempatkan di lapan pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka di ketiga-tiga daerah berkenaan.
Satu lagi PPS dibuka di Kudat iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Sikuati yang menempatkan 40 keluarga, menjadikan dua PPS beroperasi di daerah itu selain SK Tun Dato Hj Mustapha yang menempatkan seramai 71 mangsa daripada 10 keluarga sejak pagi tadi.

Sebanyak empat PPS dibuka di Kota Marudu berbanding hanya tiga petang tadi iaitu Dewan Kampung Asin-Asin yang menempatkan 317 mangsa banjir daripada 77 keluarga; SK Taritipan (324 orang daripada 80 keluarga); SK Advent Damai (24 orang daripada 12) dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tandek.
Di Pitas, dua PPS dibuka iaitu SK Pekan II yang menempatkan 10 mangsa daripada tiga keluarga dan Dewan Kampung Kusilad dengan tiga keluarga yang dipindahkan ke sana.
Menurut kenyataan itu, jumlah mangsa dipindahkan ke PPS di SK Sikuati, SMK Tandek dan Dewan Kampung Kusilad sedang dikemas kini.
Sebanyak 69 kampung masing-masing 17 kampung di Kudat, Kota Marudu (11) dan Pitas (41) terjejas berikutan banjir akibat hujan berterusan sejak semalam, selain turut berlaku kejadian tanah runtuh.

Leave a comment