OLEH PEMBERITA SABAHTODAY
KOTA KINABALU: Majlis Presiden Pakatan Harapan menyifatkan pengisytiharan proklamasi darurat sebagai keputusan melampau demi menyelamatkan kedudukan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Majlis Presiden berpendapat, tindakan Muhyiddin mengusulkan darurat ketika beliau sudah kehilangan sokongan majoriti Ahli-ahli Parlimen tidak boleh diterima sama sekali.

“Jangan berselindung di sebalik Covid-19 dan membebankan rakyat dengan perisytiharan darurat demi menyelamatkan diri sendiri.

ANWAR IBRAHIM

“Kami berpendapat bahawa undang-undang sedia ada termasuk pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang telah diumum, adalah mencukupi untuk mengumpul segala sumber dan kekuatan bagi mengatasi wabak ini,” kata Presiden-presiden parti PH menerusi kenyataan bersama semalam.

Kenyataan itu dibuat oleh Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung Parti Tindakan Demokratik (DAP).

Menurut kenyataan itu, Majlis Presiden mengambil pendirian menolak rasional serta alasan-alasan yang telah diberikan Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa kononnya kuasa-kuasa darurat diperlukan untuk menyelamatkan Malaysia dari Covid-19.

Majlis Presiden melihat langkah mengambil alih hospital-hospital swasta untuk membantu mengendalikan kes-kes Covid-19 cukup memadai. Hospital-hospital swasta ini memang bersedia membantu pihak kerajaan dan kuasa darurat tidak diperlukan untuk mendapatkan kerjasama mereka.

Berkenaan isu pilihanraya pula, Majlis Presiden melihat tindakan yang telah dilakukan sebelum ini, iaitu perisytiharan darurat bagi sesebuah bahagian Parlimen atau Dewan Undangan Negeri adalah memadai.

Sementara, bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak pula, ia tidak perlu dilakukan sehingga selewat-lewatnya penghujung Ogos 2021, manakala Pilihanraya Umum ke-15 (PRU15) pula hanya perlu diadakan menjelang 2023. Oleh itu, alasan yang dikemukakan Muhyiddin dalam isu ini tidak dapat diterima sama sekali.

“Kami juga melihat tindakan menggantung Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) ketika pihak eksekutif dan kehakiman masih boleh berfungsi seperti sedia kala menjejaskan proses semak imbang, merencat demokrasi negara dan menafikan suara rakyat.

“Kuasa darurat ini bermakna memberi kuasa mutlak kepada Perdana Menteri untuk melakukan hampir apa sahaja, sewenang-wenangnya,” jelasnya.

Majlis Presiden turut menimbulkan kerisauan bahawa perisytiharan darurat ini akan menjejaskan usaha membangunkan semula ekonomi serta keyakinan pelabur. Keadaan ini tidak akan membantu mengatasi masalah pengangguran dan kehilangan pendapatan dalam kalangan rakyat.

Leave a comment

I'm Emily

Welcome to Nook, my cozy corner of the internet dedicated to all things homemade and delightful. Here, I invite you to join me on a journey of creativity, craftsmanship, and all things handmade with a touch of love. Let's get crafty!

Let's connect

Design a site like this with WordPress.com
Get started