
OLEH SABAHTODAY
KOTA KINABALU: Tiada keperluan untuk barisan pembangkang menyediakan kabinet bayangan di saat rakyat berdepan dengan kesusahan akibat daripada pandemik Covid19 kerana fokus ketika ini ialah membantu rakyat dalam aspek ekonomi dan kesihatan.
Timbalan Ketua Wira Parti Warisan Sabah (WARISAN) Ismail Ayub berkata, bukan masanya untuk terus berpolitik ketika rakyat dilanda kesusahan.
Dalam berdepan dengan pandemik Covid-19 dan kelemahan pentadbiran Kerajaan Persekutuan sekarang, pembangkang perlu memainkan peranan sebagai semak dan imbang, kata Ismail dalam satu kenyataan hari ini.
“Masih banyak kelemahan yang telah dilakukan oleh kerajaan Perikatan Nasional. Contohnya, bilakah vaksin Covid19 akan sampai? Negara-negara jiran kita sudah pun mula menyuntik vaksin kepada rakyat mereka. Apakah SOP yang telah digariskan oleh kerajaan berkenaan dengan kumpulan sasaran penerima pertama vaksin tersebut?”
“Kita sedar yang kerajaan telah membelanjakan berjuta Ringgit untuk membeli vaksin walaupun jumlah dirahsiakan oleh menteri terbabit, namun masalah yang dihadapi oleh rakyat bukan sahaja tertumpu kepada vaksin. Ramai yang hilang pekerjaan dan perniagaan banyak gulung tikar. Apakah usaha kerajaan untuk membantu?”
“Begitu juga dalam sektor ekonomi, apakah langkah PN untuk memulihkan ekonomi negara yang merundum? Kerajaan perlu merancang dengan teliti dan memberi keutamaan kepada perkara-perkara yang betul-betul memberi manfaat kepada rakyat yang terjejas dan bukannya projek-projek mega yang menelan belanja berbillion Ringgit di saat rakyat keseluruhannya menderita. Kita bukanlah menidakkan pembangunan, tapi kita tidak perlukan projek-projek mega sewaktu pandemik ini.”
Ismail berkata, sudah tiba masanya untuk Malaysia ditadbir oleh wajah baharu dan pemimpin muda yang mampu membina negara yang lebih baik.
Katanya, pembangkang perlu memberi gambaran jelas kepada rakyat bahawa kerajaan baharu nanti dibarisi oleh pemimpin yang memperjuangkan kesatuan dan mempunyai visi jelas mentadbir negara dengan amalan pentadbiran bersih berbanding terdahulu.
“Presiden WARISAN, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal ada menjelaskan ketika ditemubual oleh ISEAS- Yusof Ishak Institute tentang perkara ini bahawa Malaysia tidak boleh lagi dikawal oleh pemimpin yang sama. Sudah tiba masanya Malaysia keluar dari cara pemikiran lama. Cukup dengan Anwar, cukup dengan Mahathir.
“Kita tidak boleh menafikan pembangunan yang dibawa pemimpin terdahulu namun kita perlu keluar dari kepompong pemikiran lama dan bergerak ke depan sebagai satu Bangsa Malaysia yang ditadbir berlandaskan Perlembagaan,” kata Ismail.
Baru-baru ini, Presiden UPKO, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau meminta Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membentuk kabinet bayangan sebagai alternatif kepada rakyat Malaysia.

Leave a comment