
KOTA KINABALU: Seorang lelaki berumur 60 tahun berasal dari Putatan merupakan antara pesakit Covid-19 yang maut hari ini dan menjadi sebahagian daripada statistik terbaharu kematian di Sabah.
Warga emas tersebut sebenarnya telah disahkan positif sejak sembilan hari lalu, tetapi dihantar pulang ke rumahnya untuk ‘menghitung hari’ sehingga menghembuskan nafas terakhir.
Puncanya adalah tiada katil yang dapat disediakan untuk pesakit berkenaan di Hospital Queen Elizabeth (QEH).
Bercakap kepada SabahToday, salah seorang keluarga mangsa yang enggan namanya disiarkan berkata, warga emas itu mengalami sesak nafas hari ini dan dihantar ke sebuah klinik swasta untuk menerima rawatan lalu dikejarkan ke Klinik Putatan.
Malangnya, mangsa meninggal dunia sebaik sahaja sampai di klinik tersebut.
Situasi jangkitan Covid-19 di Sabah nampaknya semakin teruk, namun kebenaran itu ‘disembunyikan’.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Noor Hisham Abdullah seolah-olah tidak bercakap benar tentang situasi di negeri ini.
Beliau asyik bercakap bahawa jumlah katil yang ada mencukupi tetapi QEH1 dan Hospital Likas kini kehabisan katil.
Tiada lagi ruang untuk pertambahan pesakit, kakitangan perubatan telah lama mengeluh.
Mereka selalu menafikan ada pesakit yang hanya dirawat di rumah, hakikatnya memang ada – satu keluarga di Putatan telah mengalaminya.
Bolehkah Datuk Seri Masidi Manjun yang dipertanggungjawabkan tentang Covid-19 di Sabah melihat perkara ini? Sila bercakap jujur dengan perkara sebenar.
Memang betul jururawat dan doktor dari Semenanjung dihantar ke Sabah, tetapi itu tidak cukup.

Leave a comment