
KOTA KINABALU: Pemberian pinjaman sebanyak RM300 juta kepada AirAsia Berhad oleh Sabah Development Bank (SDB) bukanlah untuk memulihkan masalah ekonomi syarikat penerbangan itu tetapi bertujuan untuk pembangunan di Sabah yang akan memanfaatkan rakyat negeri ini.
Timbalan Ketua Wira Warisan Sabah, Mohd. Ismail Ayob berkata, pinjaman berkenaan adalah bersyarat dan dalam situasi ‘menang-menang’ kerana AirAsia menawarkan untuk menjadikan Sabah sebagai hab pertanian dan menaik taraf Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA).
“Pinjaman bersyarat yang boleh disebut sebagai ‘win-win situation” bila mana AirAsia menawarkan untuk menjadikan Sabah hab pertanian dan KKIA sebagai pusat pengumpulan produk pertanian, pembungkusan dan sebagainya untuk pasaran Malaysia serta antarabangsa.
“Dengan kemerosotan pelancong akibat pandemik Covid-19, maka kapal terbang AirAsia dijadikan sebagai kargo untuk membawa hasil pertanian Sabah dan dalam masa sama AirAsia akan membuka pusat ini di Sandakan serta Tawau sebagai operasi pengumpulan produk pertanian,” katanya dalam satu kenyataan akhbar hari ini.
Beliau mengulas langkah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan ke atas urus niaga pinjaman itu yang diluluskan semasa pentadbiran Kerajaan Parti Warisan Sabah.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor meminta supaya siasatan berkenaan dilakukan.
Semalam, bekas Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal mengalu-alukan siasatan tersebut kerana yakin tiada apa-apa perkara yang tersembunyi atau disembunyikan dalam pemberian pinjaman berkenaan.
Mohd. Ismail berkata, dengan wujudnya KKIA, Sandakan dan Tawau sebagai pusat pengumpulan hasil pertanian yang dijangka mencipta 100,000 peluang pekerjaan, ia membuktikan inisiatif Warisan untuk meningkatkan ekonomi rakyat Sabah.
Sehubungan itu katanya, tiada apa-apa yang perlu dirisaukan dengan pinjaman tersebut kerana bukan dilakukan secara kelam kabut memandangkan AirAsia adalah syarikat yang tersenarai dalam Bursa Malaysia, malah manfaat daripada pinjaman itu adalah untuk rakyat Sabah.
Tambah Mohd. Ismail, beliau memahami kerisauan diutarakan Hajiji namun berharap kerajaan dapat lebih menumpukan kepada membantu rakyat Sabah yang semakin menderita disebabkan pemberian bakul makanan tidak diuruskan dengan baik.
“Sebagai rakyat saya bersyukur kerana akhirnya Ketua Menteri pulih daripada Covid-19 dan dapat menjalankan tugasnya tetapi dalam masa sama saya kecewa kerana sebaik memulakan tugas keutamaannya ialah mencari kesalahan kerajaan Warisan.
“Mengapa Ketua Menteri tidak fokus kepada masalah rakyat yang sehingga hari ini agihan bantuan bekalan makanan tidak diurus dengan betul sehingga masih ramai rakyat Sabah yang terjejas kerana bantuan begitu lembab diserahkan,” katanya.

Leave a comment