
KOTA KINABALU: Cadangan penubuhan kerajaan perpaduan kini mewarnai politik di peringkat nasional menjelang pembentangan Belanjawan 2021 yang dikhuatiri gagal mendapat sokongan majoriti dan membuktikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah hilang sokongan.
Tun Dr. Mahathir Mohamad dipercayai menjadi perancang utama penubuhan kerajaan perpaduan melibatkan pemimpin Perikatan Nasional dan semua parti pembangkang demi memastikan kestabilan politik negara dikekalkan ketika gelombang ketiga Covid-19 meningkat.
Beberapa pertemuan antara Dr. Mahathir dengan Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah dan Presiden Amanah, Mohamad Sabu tular di media sosial hari ini yang dipercayai membincangkan idea berkenaan.
“Ia cadangan ke arah kerajaan perpaduan. Mahathir ulang balik apa yang dia pernah katakan dahulu. Ia satu-satunya cara untuk terus bergerak ke hadapan dan ikut saranan Agong,” kata sumber seperti dilaporkan portal FMT.
Portal berkenaan turut melaporkan kenyataan sumber yang rapat dengan Tengku Razaleigh yang mengesahkan ketulenan gambar berkenaan.
Turut tular di media sosial ialah gambar pertemuan antara Dr. Mahathir dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Zulkifli Mohamad Al-Bakri.
Jika idea kerajaan perpaduan yang digerakkan Dr. Mahathir menjadi kenyataan, Parti Warisan Sabah (Warisan) juga sudah tentu memainkan peranan penting memandangkan Presidennya, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal merupakan sekutu Dr. Mahathir.
Bagaimanapun, Mohd. Shafie sehingga kini masih belum menyatakan apa-apa pendirian parti berkenaan terhadap cadangan kerajaan perpaduan.
Sebelum ini, Mohd. Shafie telah menyatakan pendirian bahawa kemelut politik negara hanya akan dapat diselesaikan melalui perpaduan antara semua parti politik.
Kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Muhyiddin ketika ini diambang kejatuhan selepas beberapa pemimpin UMNO dipercayai menarik balik sokongan kepadanya termasuk Tengku Razaleigh yang menuntut supaya usul undi tidak percaya dibentang di Dewan Rakyat bulan depan.
Dalam usaha mengekalkan pentadbirannya, Muhyiddin mengambil langkah terdesak dengan menasihatkan Seri Paduka mengisytiharkan darurat, namun ditolak oleh Istana Negara dan Raja-Raja Melayu.
Seri Paduka bagaimanapun menasihatkan pemimpin politik agar berhenti bermain politik demi memastikan kesejahteraan negara dan rakyat dikekalkan ketika pandemik Covid-19 masih melanda.
Justeru, demi memastikan negara tidak lagi dibelenggu ketidakstabilan politik, kerajaan perpaduan dilihat sebagai alternatif terbaik.
Mahathir pertama kali mencadangkan kerajaan perpaduan bagi menyelesaikan kemelut politik ketika beliau menggalas jawatan perdana menteri secara sementara selepas peletakan jawatannya pada Februari.

Leave a comment