
KUALA LUMPUR: Sesi perbahasan sidang Dewan Rakyat pagi ini dimulakan dengan semua Ahli Parlimen yang hadir bertafakur selama seminit sebagai penghormatan kepada Ahli Parlimen Batu Sapu, Datuk Liew Vui Keong yang meninggal dunia 2 Oktober lalu.
Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun turut merakamkan ucapan takziah kepada semua ahli keluarga mendiang atas pemergiannya.
Menurut Azhar, Vui Keong merupakan pemimpin yang berdedikasi dan menjalankan tanggungjawabnya demi negara ketika menjawat jawatan sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri sebelum ini.
“Saya bagi pihak ahli Dewan Rakyat dan Parlimen Malaysia seluruhnya ingin merakamkan ucapan takziah kepada isteri mendiang Datin Linda Lee dan seluruh ahli keluarga beliau
“Sesungguhnya jasa dan bakti mendiang akan sentiasa dikenang dalam memainkan peranan penting untuk pembaharuan undang-undang dan hak asasi manusia di negara ini yang cukup berdedikasi sepanjang tempoh perkhidmatan mendiang sebagai Ahli Parlimen dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri.
“Sesungguhnya pemergian mendiang adalah satu kehilangan besar pada negara dan kepada Dewan Rakyat, oleh yang demikian saya menjemput ahli-ahli yang berhormat sekalian bangun dan diminta bertafakur selama seminit,” katanya.


Leave a comment