
KOTA KINABALU : Seorang pemimpin Parti Warisan Sabah hari ini menghargai cadangan yang dibuat oleh Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hassan agar semua pihak memberi laluan kepada Warisan di PRK Batu Sapi yang akan datang.
Menurut Setiausaha Agung Warisan, Datuk Loretto Padua, cadangan yang dibuat oleh Mohamad Hasan jelas menunjukkan keprihatinannya mengenai wabak Covid 19 yang teruk melanda negeri ini.
“Kita sudah mendengar dan membaca laporan yang dibuat oleh media mengenai barisan hadapan dan doktor-doktor di Sabah yang kepenatan bekerja tanpa henti kerana jumlah kes yang semakin meningkat.
Lebih teruk lagi, kita juga telah dikejutkan dengan pendedahan yang dibuat oleh beberapa portal berita nasional mengenai krisis kekurangan PPE untuk barisan hadapan di negeri ini.
Berbanding dengan barisan hadapan di Semenanjung yang ramai dan serba lengkap dengan peralatannya, kita serba kekurangan maka kita sepatutnya membantu barisan hadapan kita yang sudah kepenatan dan mencari jalan untuk membantu mereka ini mendapatkan kelengkapan yang sepatutnya.
Nasib dan kebajikan barisan hadapan kita dalam usaha mereka menangani masalah Covid 19 di negeri ini harus kita utamakan dan cadangan Tok Mat agar Umno memberi laluan kepada Warisan di Batu Sapi ini amat dihargai,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Loretto juga mengatakan bahawa tidak ada salahnya untuk semua pihak berkerjasama untuk menangani wabak Covid 19 yang melanda negeri ini.
“Tidak salah sekiranya semua kita semua (termasuk calon bebas) bersolidariti berkenaan dengan PRK Batu Sapi agar kita dapat menumpukan soal kebajikan rakyat serta ekonomi negeri yang terjejas akibat daripada wabak ini.
Lagipun kita cuma perlu tunggu selama 2 tahun lagi untuk PRU diadakan dan adalah lebih baik sekiranya masa sekarang ini digunakan sebaiknya demi kebaikkan rakyat Sabah.

Leave a comment