KOTA KINABALU: Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal mencadangkan pelan pemulihan ekonomi dalam tempoh dua tahun kepada Kerajaan Perikatan Nasional (PN) untuk dimasukkan ke dalam Belanjawan 2021.

Pelan pemulihan berorientasikan rakyat itu memberi keutamaan kepada menangani pandemik Covid-19 secara menyeluruh serta pemberian bantuan kepada rakyat segenap peringkat terutama mereka yang hilang pekerjaan.

Beliau mencadangkan kerajaan menyediakan dana sebanyak RM50 bilion bagi memberikan bantuan tunai selama setahun iaitu sebanyak RM750 sebulan kepada semua keluarga B40 dan RM500 sebulan kepada keluarga M40.

“Bantuan kewangan termasuk ibu-ibu tunggal, warga emas, orang kurang upaya (OKU) dan gelandangan, ini akan meliputi hampir 90 peratus rakyat Malaysia.

“Bagi membantu mereka yang hilang pekerjaan akibat diberhentikan atau ditamatkan kontrak termasuk yang menerima SOCSO dan SIP, geran bulanan RM1,000 selama enam bulan perlu diberikan.

“Bagi membantu keluarga yang memerlukan wang kecemasan, pinjaman mikrokredit maksimum RM2,500 tanpa faedah perlu diberikan untuk keluarga bermasalah dan RM2,500 lagi untuk membina semula kehidupan,” katanya.

Bagi golongan peniaga, Mohd. Shafie mencadangkan kerajaan menyediakan dana sebanyak RM45 bilion untuk membantu golongan tersebut memulakan kembali perniagaan termasuk usahawan industri kecil dan sederhana (IKS).

“Bagi membantu golongan bekerja sendiri untuk memulakan kembali perniagaan, sebanyak RM6,000 perlu diberikan kepada golongan itu yang dibayar sebanyak RM500 sebulan.

“Ini membolehkan sebanyak 2.4 juta memulakan kembali perniagaan. Bagi IKS, subsidi gaji perlu dilanjutkan enam bulan lagi pada kadar RM900 sebulan atau 75 peratus daripada gaji minimum,” katanya.

Mohd. Shafie berkata, kerajaan perlu menggalakkan para majikan untuk mengambil pekerja untuk mengurangkan kadar pengangguran melalui pelaksanaan program-program tertentu dengan memperuntukan dana RM20 bilion .

Katanya, sebanyak RM10 bilion daripadanya perlu disediakan untuk mewujudkan insentif pekerjaan antaranya membantu pembayaran gaji pekerja baharu selama setahun bagi menggalakkan pengambilan pekerja.

Menurut Mohd. Shafie bagi membayar senarai bantuan yang dicadangkan itu yang bernilai RM155 bilion, kerajaan mempunyai empat cara untuk mendapatkan dana iaitu daripada rizab simpanan sebanyak RM10 bilion dan syarikat milik kerajaan RM10 bilion.

“Langkah ketiga ialah tangguhkan perbelanjaan pembangunan pada 2021 yang bernilai RM55 bilion dan 50 peratus penangguhan pada 2022 yang akan memboleh dana RM30 bilion diperoleh manakala langkah terakhir adalah membuat pinjaman sebanyak RM40 bilion,” jelasnya.

Leave a comment

I'm Emily

Welcome to Nook, my cozy corner of the internet dedicated to all things homemade and delightful. Here, I invite you to join me on a journey of creativity, craftsmanship, and all things handmade with a touch of love. Let's get crafty!

Let's connect

Design a site like this with WordPress.com
Get started