KUALA LUMPUR: Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal memberi penegasan Belanjawan 2021 perlu mempunyai kerangka dan perancangan yang memberi fokus kepada Sabah sebelum memberikan sokongan.

Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) itu berkata, kerajaan perlu mempunyai program yang teliti dalam membantu Sabah menangani Covid-19 agar tidak menyusahkan rakyat serta pelan untuk menjana ekonomi domestik.

Bercakap dalam program Wacana Sinar Harian bertajuk Bejet 2021: Demi Rakyat Atau Survival Kerajaan?, Mohd. Shafie membangkitkan isu kawasan luar bandar di Sabah yang tidak mempunyai kemudahan kesihatan yang baik sebagai antara isu untuk diutamakan Kerajaan Persekutuan.

“Contoh mengatasi Covid-19 di Sabah kita ada banyak kawasan luar bandar dan tidak banyak ambulans yang diperlukan oleh kawasan-kawasan, kadang-kadang itu hospital jarak jauh dia nak bawa satu pesakit satu jam nak bawa pesakit dari Long Pasia ke Sipitang tujuh jam dan sudah pasti membawa pesakit berapa ramai yang ada kalau dalam 10, 20 orang sudah pasti satu ambulans tidak cukup.

“Jadi macam mana kita mahu membuat satu kaedah yang baru dalam keadaan persekitaran yang berubah kita gunakan bas mini yang ada di kawasan luar bandar, bas mini yang ada tidak digunakan dan tidak berfungsi oleh kerana lockdown tetapi kalau pemilik ini kita tukar jadi ambulans ada satu kilang oksigen dan ada satu pakar saya yakin kita boleh laksanan tidak perlu kita beli ambulans dari German Jepun mengambil masa, belanja yang begitu besar kita gunakan keadaan itu.

“Contohnya bila ada kuarantin mahu bina pusat kuarantin yang baharu kena belanja berjuta kita ada hotel-hotel yang tidak digunakan yang sedia ada takkan tidak boleh kita gunakan sumber dan hotel itu tukar jadi pusat kuarantin tidak perlu kita tunggu masa untuk pembinaan dia,” katanya dalam wacana itu yang dibuat secara dalam talian.

Mohd. Shafie berkata, jika belanjawan sebelum ini banyak merancang pembinaan projek-projek baharu yang menelan belanja ratusan bilion, Belanjawan 2021 sebaliknya perlu memfokuskan kepada survival negara dalam sektor ekonomi ketika pandemik Covid-19 masih melanda.

Katanya, dana yang diperuntukkan bagi projek-projek baharu perlu diagihkan ke dalam ekonomi untuk membantu rakyat dan usahawan terutama perusahaan kecil dan sederhana (PKS) kerana hanya dengan cara itu barulah ekonomi domestik dapat dijana semula dan mampu mewujudkan peluang pekerjaan.

“Saya fikir sampai masanya kita tidak perlukan projek yang baharu untuk menyelamatkan ekonomi negara kita, apa yang telah pun diluluskan dalam Belanjawan 2020 teruskan sudah ada perjanjian sudah ada pelaksanaan.

“Manakala pada tahun 2021 perlu bagi kita untuk menggunakan duit sama ada RM70 bilion, RM100 bilion untuk projek-projek ini kita salurkan ke arah penjanaan ekonomi negara kita, banyak syarikat contohnya PKS di negara kita yang memerlukan bantuan mereka ini juga mempunyai jumlah pekerja di peringkat akar umbi,” katanya.

Tambah beliau, disebabkan pandemik Covid-19, kerajaan perlu menerima hakikat bahawa ekonomi negara kini kurang berfungsi sebagai negara perdagangan disebabkan kekangan yang ada, justeru fokus perlu kepada ekonomi domestik.

“Kita bukan lagi negara perdagangan yang mudah kita eksport dalam jangka masa yang agak pendek jadi penting bagi kita menjana ekonomi kita dengan menggunakan kewangan yang terbatas dan ini perlu dicari mana sumber yang perlu kita peroleh,” tegasnya.

Leave a comment

I'm Emily

Welcome to Nook, my cozy corner of the internet dedicated to all things homemade and delightful. Here, I invite you to join me on a journey of creativity, craftsmanship, and all things handmade with a touch of love. Let's get crafty!

Let's connect

Design a site like this with WordPress.com
Get started