
OLEH SABAHTODAY
KOTA KINABALU: Parti Warisan Sabah (Warisan) menyelar kenyataan Menteri Dalam Negeri yang mendakwa kerajaan Warisan Plus telah mengeluarkan Pas Sementara Sabah (PSS) semasa memerintah negeri ini.
Naib Presiden Warisan, Datuk Jaujan Sambakong berkata, kenyataan yang dikeluarkan dalam sebuah portal ‘Buletin Pertiwi’ itu disifatkan sebagai satu kenyataan berunsurkan fitnah dan tidak betul.
Beliau meminta siasatan dibuat terhadap kenyataan yang mendakwa lambakan pendatang asing tanpa izin (PATI) di Sabah meningkat disebabkan semasa pemerintahan Warisan, PSS diberikan secara meluas. Kenyataan itu ditularkan menerusi video berdurasi 1 minit 32 saat.
Katanya, laporan polis sudah dibuat olehnya dan Setiausaha Agung Warisan, Datuk Loretto S.Padua.
“Sepanjang ingatan kita, semasa kerajaan Warisan Plus memerintah, kita tidak pernah mengeluarkan pas (PSS) seperti didakwa.
“Jadi, kita anggap tuduhan sebegitu sesuatu yang serius dan tidak boleh diambil mudah dan dibiarkan begitu sahaja. Ini akan menjejaskan reputasi kerajaan terdahulu.

“Dalam ingatan kita dalam Kabinet dulu, tiada arahan sebegitu untuk kita mengeluarkan pas sebegini.
“Sekiranya dakwaan itu memang ada berlaku maka, pihak berwajib perlu siasat kerana yang layak mengeluarkan pas ini adalah pihak berwajib iaitu Jabatan Imigresen dan Jabatan Pendaftaran Negara,” katanya kepada media selepas membuat laporan polis, di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Kinabalu, di sini hari ini.
Turut hadir adalah Ketua Wanita DAP Sabah, Jannie Lasimbang, Ketua Pemuda Sosialis DAP Sabah (DAPSY) Phoong Jin Zhe, Setiausaha Agung UPKO Nelson W. Angang dan Ketua Pemuda UPKO Felix Joseph Saang.
Juajan, yang juga mantan Timbalan Ketua Menteri ini mempertikaikan tujuan kenyataan sebegitu ditularkan menerusi media sosial. Apabila isu membabitkan kewarganegaraan ini ditularkan, ia menunjukkan ada agenda lain yang dirancang.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sulabayan ini berkata, sebagai pimpinan kerajaan terdahulu, mereka bertanggungjawab untuk memberi penjelasan terhadap dakwaan yang tidak betul.
“Kita tidak tergamak dan tidak terfikir untuk mengeluarkan PSS mahupun IMM13 dan Kad Burung-Burung. Kita tidak tergamak mengeluarkan sesuatu yang boleh memudaratkan (rakyat) dan kita ada tanggungjawab dalam menangani isu kewarganegaraan ini.
“Jika ada kesahihan tentang dakwaan sebegitu, ia perlu disiasat. Kementerian berkenaan kena menjalankan siasatan, jangan jadikan ini satu modal untuk kepentingan tertentu,” jelasnya.
Atas sebab itulah, laporan polis dibuat supaya polis dapat menjalankan siasatan terhadap kenyataan berbaur fitnah sebegini.
Menurutnya, kenyataan yang dibuat menerusi portal berkenaan ditularkan sejak semalam (5 Nov).
Katanya, setelah berbincang bersama rakan komponen dalam Kabinet Negeri terdahulu, mereka memutuskan membuat laporan polis bagi menjelaskan situasi sebenar.
Tambahnya, perkara ini bukan isu yang mudah. Ini satu perkara yang serius kerana mereka juga mahu pastikan tiada lagi isu pendatang asing tanpa izin (PATI) di Sabah.
Ditanya adakah kenyataan itu dibangkitkan susulan Pilihan Raya Kecil (PRK) Batu Sapi semakin hampir, Jaujan berkata, beliau tidak pasti tujuan sebenar kenyataan sebegitu ditularkan.
Katanya, apa juga tujuan kenyataan sebegitu dibuat, siasatan perlu dilakukan kerana ini membabitkan agensi yang berada dalam Kementerian Dalam Negeri (KDN) sendiri.

Leave a comment