
SABAHTODAY
KOTA KINABALU: Langkah kerajaan persekutuan mengurangkan peruntukan pembangunan dan geran khas untuk Sabah dalam Belanjawan 2021 petanda jelas bahawa kepentingan Sabah mula diabaikan.
Setelah pelbagai janji ditabur semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah bahawa kesejahteraan dan pembangunan Sabah terjamin jika sehaluan dengan kerajaan persekutuan namun, belanjawan ini membuktikan kerajaan Perikatan Nasional (PN) menganak tirikan Sabah.
Ahli Parlimen Sepanggar, Datuk Mohd Azis Jamman berkata, peruntukan Geran Khas kepada Sabah dikurangkan dikala negeri ini memerlukan dana yang banyak bagi memulihkan ekonomi Sabah yang terjejas teruk akibat pandemik Covid-19.
Beliau berkata, kerajaan PN tidak meneruskan komitmen Pakatan Harapan (PH) yang mahukan peruntukan geran khas dipertingkatkan kepada RM106.8 juta selepas lima tahun. Sebaliknya peruntukan itu dikurangkan kepada jumlah asal, iaitu sebanyak RM26.7 juta.
Katanya, pembentangan belanjawan kali ini juga menyaksikan peruntukan pembangunan untuk negeri Sabah menyusut kepada RM5.1 bilion berbanding RM5.2 bilion dalam Belanjawan 2020.
“Saya melihat langkah kerajaan PN ini sebagai satu lagi tindakan yang tidak adil serta berat sebelah kepada rakyat Sabah, seolah-olah menganaktirikan rakyat Sabah.
“Rakyat Sabah pastinya kecewa dan kesal dengan Ketua Menteri Sabah yang seolah-olah bersikap lepas tangan dan hanya dicucuk hidung oleh kerajaan persekutuan sehingga tidak berani mempertahankan hak rakyat Sabah yang sepatutnya diberikan kepada negeri ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Ketua Wira Warisan ini berkata, lebih mengecewakan dan tidak masuk akal adalah peruntukan RM81 juta untuk menghidupkan kembali unit propaganda kerajaan, Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA). Unit ini sememangnya diketahui umum adalah satu pembaziran wang rakyat kerana dilihat sekadar menjadi alat untuk kerajaan dalam menyampaikan propaganda politik semata-mata.
“Saya mengecam dan membantah sama sekali langkah kerajaan persekutuan memotong peruntukan geran khas dan pembangunan untuk negeri Sabah ini.
“Persoalan yang saya ingin bangkitkan, adakah peruntukan kepada Sabah ini dipotong bertujuan untuk menggunakan dana itu bagi menghidupkan semula unit propaganda kerajaan PN, JASA ini? Ia tidak memberi apa-apa manfaat kepada rakyat jelata amnya,” tambahnya.
Mohd Azis berkata, peruntukan RM81 juta itu boleh dimanfaatkan bagi melaksana berapa inisiatif untuk rakyat di setiap kawasan parlimen seluruh negara yang terjejas akibat pandemik Covid-19. Berapa banyak perniagaan kecil yang boleh dibantu sekiranya peruntukan JASA tersebut digunakan untuk membela kebajikan rakyat.
Malangnya, kerajaan tidak memikirkan mengenai kebajikan rakyat sebaliknya apa yang difikirkan adalah cara untuk mereka terus berkuasa dan ini sama sekali tidak boleh diterima!.
“Saya menggesa kerajaan persekutuan supaya lebih peka dan prihatin terhadap kesengsaraan rakyat yang kini, ramai kehilangan pekerjaan dan punca pendapatan.
“Tetapi kerajaan persekutuan dibawah pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin nampaknya lebih sibuk untuk bermain politik dan ini terbukti dengan langkah untuk mewujudkan semula JASA.
“Saya juga melihat langkah kerajaan persekutuan ini sama sekali tidak mencerminkan langkah untuk perdamaian politik atau ‘gencatan politik’ seperti yang diwar-warkan. Sebaliknya kerajaan masih lagi cuba bermain politik dan tidak jujur untuk mencari titik persamaan dengan blok parti pembangkang.
“Mana lagi penting, nyawa dan kesihatan rakyat ataupun unit propaganda untuk menaikkan populariti PN,” jelasnya.
Mohd Azis menggesa supaya peruntukan RM81 juta itu disalurkan untuk kebajikan rakyat yang terjejas teruk akibat pandemik Covid-19. Ia tidak seharusnya digunakan untuk menjaga kuasa pihak atasan berkepentingan sehingga membiarkan rakyat terus menderita.
“Saya berharap semua pemimpin yang datang daripada Sabah, walau berbeza ideologi politik untuk sama-sama menuntut hak Sabah dengan mendapatkan peruntukan yang sewajarnya,” katanya.

Leave a comment