
SABAHTODAY
KOTA KINABALU: Keluhan rakyat Sabah yang kekurangan bekalan makanan akibat pandemik Covid-19 terus mendapat perhatian daripada pendakwah terkenal Ebit Lew.
Semalam, Ebit menghantar sebanyak 10 tan bekalan makanan ke negeri ini untuk diagih-agihkan kepada golongan yang memerlukan.
“Doakan ya. Risau ramai mengadu lapar yang memerlukan bantuan makanan asas. Saya bekerjasama dengan My Jet Express menghantar bekalan keperluan asas ke Sabah untuk diagihkan.

“Sayu malam-malam bila baca tentang sebahagian orang Sabah. Ramai sangat mesej saya. Baca berita rasa sedih,” katanya.
Menurut beliau, bantuan tersebut dihantar menggunakan tiga lori dari gudang pasar raya Elewsmart ke Lapangan Terbang Senai, Johor untuk diterbangkan ke Sabah.

“Doakan Sabah ya. Doakan seluruh Malaysia. Doakan seluruh dunia. Jangan ada satu orang pun lapar dan tiada makan minum. Ini ujian untuk kita semua,” katanya.
Ini adalah kali kedua beliau menghulur bantuan ke Sabah selepas sebelum ini turut menghantar bekalan peralatan perlindungan diri (PPE) ke negeri ini.

Leave a comment