
SABAHTODAY
PENAMPANG: Perkenalan yang bermula menerusi laman ‘Facebook’ membawa kepada peristiwa malang terhadap seorang wanita yang mengalami kerugian sebanyak RM143,200 apabila menjadi mangsa ‘Love Scam’.
Mangsa yang merupakan seorang peniaga berumur sekitar 50 tahun mengaku berkenalan dengan seorang pemilik akaun Facebook bernama ‘Eric Chan’ sejak beberapa bulan lalu.
Sejak itu, beliau telah membuat sebanyak lima transaksi kewangan kepada akaun yang berbeza sebelum menyedari dirinya telah ditipu.

Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superitendan Mohd Haris Ibrahim berkata, difahamkan mangsa telah diperdaya dengan tipu helah suspek dengan menyatakan duit simpanan berjumlah RM16.6 juta milik suspek telah dibekukan.
Maka, suspek meminta pertolongan mangsa supaya melakukan transaksi kewangan seterusnya berjanji akan memberikan ‘habuan’ kepada mangsa.
“Pihak polis mengesahkan menerima laporan polis daripada mangsa awal pagi tadi dan kes masih disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Mohd Haris berkata, statistik kes penipuan melibakan ‘Love Scam’ semakin meningkat di Penampang sejak kebelakangan ini. Oleh itu, masyarakat dinasihatkan untuk lebih berhati-hati apabila berurusan dengan individu yang tidak dikenali.
Berdasarkan tren jenayah ‘Love Scam’ ini, modus operandi mereka menerusi perkenalan di alam maya (media sosial) dengan memberikan kata-kata manis untuk memperoleh kepercayaan mangsa seterusnya meminta sejumlah wang untuk pelbagai tujuan.

Leave a comment