
SABAHTODAY
PENAMPANG: Jabatan Penjara Kepayan telah menerima 74 karton bantuan dan topeng muka sumbangan daripada Yayasan PEKEMA Sabah dengan kerjasama Penampang Act of Kindness (PAKA) dan Pusat Khidmat P.17 Penampang dan N.26 Moyog seliaan Ahli Parlimen Penampang.
Darell Leiking adalah Ahli Parlimen Penampang dan beliau juga merupakan ADUN Moyog, merangkap Timbalan Presiden Parti Warisan Sabah.
Sumbangan telah diterima oleh pemangku Pengarah Penjara Negeri Sabah dan Labuan merangkap Timbalan Komisioner Penjara Sabah
Puan Nora binti Musa.
Bantuan merupakan pelbagai barangan harian yang sangat diperlukan oleh kakitangan Penjara yang dikenakan arahan kuarantin oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kerana jumlah kes Covid 19 yang tertinggi di kawasan Pantai Barat Sabah.
Sebelum ini beberapa organisasi bukan kerajaan telah menyumbangkan kemudahan kesihatan seperti PPE dan sanitasi tangan untuk kegunaan kakitangan Penjara dan petugas petugas yang dipusatkan di Penjara Kepayan.
“Kami difahamkan kakitangan Jabatan Penjara Kepayan memerlukan bantuan kerana diarahkan untuk kuarantin maka beberapa NGO dan pihak wakil rakyat Kepayan, Moyog dan Penampang telah merancang dan memastikan mereka mendapat keperluan yang diperlukan” kata Darell melalui Setiausaha Politiknya, Pritchard Gumbaris.
Darell juga mengucapkan ribuan terima kasih kepada wakil pihak Yayasan PEKEMA Sabah, Ridzuan bin Datuk Hj Lassim, Presiden PEKEMA Sabah kerana menyumbangkan bantuan melalui Pusat Khidmat Parlimen Penampang kerana dalam keadaan pandemik seperti ini kerjasama semua pihak adalah sangat dialu- alukan.
Beliau juga menegaskan agar bantuan makanan kerajaan Sabah yang disalurkan melalui Pejabat Daerah berjumlah RM2 juta setiap daerah untuk diberikan kepada semua lapisan masyarakat secara menyeluruh kerana ramai yang terjejas dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Dia berkata ramai yang belum menerima bantuan Covid 19 kerajaan Sabah dan beliau menyarankan agar kerajaan untuk mempercepatkan perlantikan dan penubuhan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) agar bantuan dapat disalurkan dengan cepat.

Leave a comment