
SABAHTODAY
KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Moyog merangkap Ahli Parlimen Penampang, Datuk Darell Leiking menunaikan peranan sebagai wakil rakyat untuk membela masalah penduduk di kawasannya walaupun berada di pihak pembangkang.
Pejabat Ahli Parlimen Penampang dalam satu kenyataan berkata, pelbagai isu yang timbul termasuk membabitkan infrastruktur rakyat diserahkan kepada Pegawai Eksekutif Majlis Daerah Penampang yang baharu, Robert Malangking dalam kunjungan hormat baru-baru ini.
Senarai permasalahan rakyat itu disampaikan Setiausaha Politiknya, Pritchard Gumbaris mewakili Darell yang kini berada di Kuala Lumpur untuk menghadiri sidang Dewan Rakyat.
“Antara isu yang dibincangkan adalah berkaitan dengan pemasangan lampu jalan sepanjang jalan Penampang – Kinarut, Papar dari Kampung (Kg) Nambazan ke Lok Kawi dan naik taraf jalan masuk ke Taman Shangri La Kibabaig yang selalu mengalami masalah banjir.
“Isu yang juga dibangkitkan ialah pembersihan parit yang berterusan untuk mengurangkan impak banjir dan pemotongan rumput yang berterusan agar Penampang sentiasa dalam keadaan bersih dan kemas,” kata kenyataan tersebut.

Turut disampaikan ialah isu pemilikan kedai runcit milik warga asing tanpa permit dibawah perkadaran Majlis Daerah Penampang (MDPg) manakala juga dibincangkan agar MDPg dapat mengambil langkah proaktif untuk menangani isu tersebut dan isu berkaitan rumah setinggan di beberapa kawasan tanah milikan peribadi yang menerima pelbagai reaksi daripada masyarakat.
Tujuan isu-isu tersebut dibangkitkan adalah agar MDPg dapat mengambil langkah drastik untuk memastikan masalah yang timbul diselesaikan dengan menyeluruh melalui kerjasama pemilik tanah persendirian dan jabatan-jabatan kerajaan berkaitan.
Sementara itu, Pritchard berkata, pihaknya berharap MDPg akan terus membangunkan Penampang sebagai salah satu daerah yang bersih dan cantik di negeri ini.
“Kami berharap MDPg di bawah kepimpinan Robert Malangkig dapat meneruskan usaha pembersihan dan mencantikkan Penampang terutamanya daripada segi pemungutan sampah yang lebih kerap serta penambahbaikan infrastruktur seperti lampu jalan, parit dan jalan raya agar daerah Penampang menjadi contoh yang baik kepada daerah-daerah yang lain” kata Pritchard.
Menurutnya, Darell berharap dengan kepimpinan yang baharu, MDPg dapat bekerjasama dengan jabatan kerajaan yang lain untuk mencari penyelesaian kepada isu-isu yang dibangkitkan oleh masyarakat melalui wakil-wakil penduduk Moyog, Kepayan dan Penampang secara amnya.

Leave a comment