
PENAMPANG: Kelab Rekreasi Mimpaagat Tokou Sabah (KRMTS) bersama Unit Perubatan Transfusi Hospital Queen Elizabeth (HQE) berjaya menganjurkan satu kempen derma darah di sini baru-baru ini.
Setiausaha KRMTS Eddy Limbang berkata, tujuan anjuran diadakan adalah memenuhi keperluan darah berterusan HQE 1 dan 2.
“Kita juga mahu mengalakkan dan memudahkan ahli-ahli kelab dan juga orang ramai di sekitar Penampang menderma darah.
“Kelab ini mempunyai seramai 250 orang ahli yang berumur 45 tahun ke atas dan sering aktif menganjurkan aktiviti-aktiviti untuk kesihatan, terutamanya bolasepak.
“Antara aktiviti-aktiviti amal yang telah dijalankan sebelum ini adalah menyertai kempen menderma darah dan mengumpul dana untuk air purifier yang akan disumbangkan kepada Hospital Kanak-Kanak Likas,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.
Beliau turut menjelaskan jumlah penderma yang hadir adalah melebihi sasaran dan dianggap berjaya.
Katanya, kempen kali ini juga berjaya menarik sebilangan penderma kali pertama dan mereka yang sudah lama tidak menderma.
“Ini adalah hasil usaha ahli-ahli KRMTS, berdasarkan pengalaman kali ini, pihak KRMTS akan menganjurkan kempen seumpama ini setiap tiga bulan untuk menggalakkan lebih ramai ahli-ahli, keluarga mereka dan penduduk setempat menderma darah secara konsisten.
“KRMTS sangat menghargai peluang yang diberikan oleh Unit Perubatan Transfusi HQE untuk menganjurkan kempen ini, dan sokongan padu dari ahli-ahli KRMTS, keluarga, kawan-kawan dan orang ramai yang hadir,” katanya.

Leave a comment