
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Semporna Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal melahirkan kekecewaan atas peruntukan yang diberikan kepada negeri Sabah dalam Belanjawan 2021.
Beliau berkata, mana mungkin sejak mencapai kemerdekaan, setiap kali belanjawan dibentangkan, kali ini RM322 bilion, sebelum ini sebanyak 270 bilion tapi, negeri Sabah hanya memperolehi RM5 bilion daripada peruntukan belanjawan yang telah dibentangkan.
“Bayangkan kalau perbelanjaan hanya dalam lingkungan RM5juta hingga RM10 juta, sedangkan Sabah merupakan sebuah wilayah yang mempunyai penduduk hampir 4 juta.
“Tapi kita mampu belanja untuk ECRL lebih dari RM40 bilion, dan ini cuma satu projek saja,” katanya semasa ucapan perbahasan Belanjawan 2021, di Dewan Rakyat, di sini hari ini.
Menurutnya, perbelanjaan yang tidak diperlukan boleh ditangguh seperti High Speed Rail dan perbelanjaan yang tidak masuk akal seperti kenaikan peruntukan di sesetengah kementerian haruslah dipotong, dan disalurkan kepada sektor kesihatan dan tambah bantuan tunai kepada rakyat.
Dalam pada itu, beliau mencadangkan Malaysia memanfaatkan kelebihan yang ada di negeri Sabah dan Sarawak yang mempunyai keluasan dan kesuburan tanah dan sumber alam semulajadi untuk menjadikan negara ini lebih kompetitif.
Katanya, beliau mahu Malaysia terus membangun dan mampu bersaing dengan negara-negara di rantau asia malahan di dunia.
“Saya telah nyatakan pada awal tahun ini bahawa nilai hartanah di Sabah jauh lebih rendah berbanding di Semenanjung Malaysia. Saya juga berharap Sabah sebagai sebuah wilayah yang mempunyai jumlah penduduk yang besar harus mendapat peruntukan yang jauh lebih berpatutan.
“Ini kerana di Sabah masih mempunyai jumlah miskin tegar yang agak ramai walaupun negerinya kaya dengan pelbagai sumber.
“Untuk itu, saya harap perkara ini harus dipandang serius agar dapat diimbangi pembangunan yang ada di negara ini,” jelasnya.

Leave a comment