
KUALA LUMPUR: DAP menggesa Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor agar membiarkan Parti Warisan Sabah (Warisan) menang tanpa bertanding di kerusi DUN Bugaya selepas kekosongan yang berlaku.
Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, tanpa pertandingan, kempen pilihan raya tidak perlu dijalankan yang boleh menimbulkan lagi risiko penularan Covid-19.
“Membiarkan Warisan menang tanpa bertanding membuktikan kepada rakyat bahawa Hajiji komited melawan Covid-19 bersama-sama semua pihak,” katanya dalam satu kenyataan.
DUN Bugaya kosong selepas penyandangnya, Manis Muka Mohd. Darah meninggal dunia semalam akibat masalah kesihatan.
Allahyarhamah menjadi wakil rakyat di kawasan itu selama dua penggal bermula pilihan raya umum 2018.
Guan Eng turut menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Manis Muka dan menyifatkan Allahyarhamah sebagai seorang pemimpin yang popular apabila berjaya mempertahankan kerusinya dalam pilihan raya negeri baru-baru ini.
Dalam pertembungan tujuh penjuru termasuk daripada calon Perikatan Nasional, Manis Muka mendapat 8,557 undi keseluruhan dengan majoriti 6,005 undi.
“Ketua Menteri Sabah yang baharu perlu menghormati mandat pengundi di Bugaya baru-baru ini dan meletakkan kesihatan awam sebagai keutamaan daripada pilihan raya.
“Sebagai seorang pesakit Covid-19, Hajiji jelas tahu bahaya yang dibawa oleh jangkitan itu semasa pilihan raya negeri,” katanya.
Hajiji sendiri dan ahli keluarganya merupakan antara yang dijangkiti Covid-19 selepas pilihan raya negeri berakhir, namun beliau telah sihat sepenuhnya untuk memulakan tugas sebagai Ketua Menteri.

Leave a comment