
KOTA KINABALU: Kadar bayaran elaun perumahan wilayah (EPW) lebih rendah yang diterima penjawat awam Persekutuan dari Sabah yang bertugas di Semenanjung berbanding kakitangan dari Semenanjung yang bertugas di Sabah dibangkitkan di Dewan Rakyat semalam.
Ahli Parlimen Penampang, Datuk Darell Leiking berkata, sudah sampai masanya Kerajaan Persekutuan menyeragamkan bayaran EPW itu agar penjawat awam Persekutuan dari Sabah yang dipindahkan bertugas ke Semenanjung atau Sarawak tidak lagi berasa seperti dianaktirikan.
Katanya, banyak desakan diterima daripada penjawat awam dari Sabah yang berasa dilayan tidak adil dengan perbezaan bayaran EPW antara RM200 hingga RM500 sebulan diterima rakan sejawatnya mereka dari Semenanjung dan Sarawak.
“Kebanyakan penjawat awam Persekutuan dari Sabah yang bertugas di Malaya dan Sarawak adalah mereka yang terdiri daripada Kumpulan Pengurusan dan Profesional Gred 41 hingga Gred 54 dan Kumpulan Sokongan Gred 41 ke bawah.
“Sudah sampai masanya Jabatan Perkhidmatan Awam di bawah Jabatan Perdana Menteri membuat penyeragaman pembayaran EPW ini supaya penjawat awam Persekutuan dari Sabah yang dipindah ke Malaya atau Sarawak tidak lagi dianaktirikan dan sedikit sebanyak dapat membantu kehidupan mereka lebih-lebih lagi ketika negara menghadapi pandemik COVID-19 ini,” katanya.
Darell berkata demikian ketika membahaskan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat semalam.
Ketika penjawat awam Persekutuan gred 41 dari Sabah yang bertugas di Semenanjung menerima bayaran EPW sebanyak RM600 sebulan, namun bagi penjawat awam dari Semenanjung yang bertugas di Sabah dalam gred sama, EPW mereka ialah RM900.
Dalam perbahasannya, Darell turut membangkitkan masalah banjir di Penampang, khususnya di Moyog yang sering berlaku akibat projek penebatan banjir yang masih tertangguh.
Sehubungan itu, beliau mendesak Kerajaan Persekutuan agar menyegerakan kerja-kerja pembinaan demi memastikan rakyat di kawasannya tidak terus menderita.
“Kita dapati bahawa dalam keadaan pandemik COVID-19 ini, penebatan banjir di Sabah khususnya di kawasan saya pun telah ada penangguhan dan kami berharap kerajaan akan mendesak kontraktir serta Kerajaan Negeri Sabah untuk menyelesaikan hal ini dan kita dapat elakkan penyakit yang lain selain daripada COVID-19.
“Seperti mana yang telah ditulis dalam satu artikel oleh seorang wartawan sambilan, Encik Osol Supi di mana beliau dan keluarga beliau telah mengalami melioidosis, satu jangkitan daripada akibat banjir yang ada di kawasan saya,” tegasnya.

Leave a comment