
SABAHTODAY
KUALA LUMPUR: Hasrat rakyat Sabah untuk mengetahui hasil perbincangan Jawatankuasa MA63 melalui laporan akhir yang sepatutnya disiarkan pada Mac lalu tidak kesampaian.
Walaupun MA63 merupakan perkara yang menjadi perjuangan rakyat Sabah selama ini agar hak-hak negeri ini dikembalikan, Kerajaan Perikatan Nasional mengambil keputusan untun tidak mendedakan laporan akhir tersebut.
Perkara tersebut disahkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Seri Maximus Ongkili ketika penggulungan perbahasan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat hari ini.
Katanya, isi kandungan dan perbincangan dalam laporan akhir Jawatankuasa MA63 yang diwujudkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada 5 Sept 2018 bersifat teknikal dan masih dalam proses rundingan antara kerajaan persekutuan, Sabah dan Sarawak.
“Jawatankuasa MA63 bermesyuarat 5 kali iaitu pada 17 Dis 2018, diikuti pada 5 Mac 2019, 17 Mei 2019, 23 Julai 2019 dan mesyuarat terakhir pada 18 Nov 2019.
“Di bawah Jawatankuasa MA63, sebanyak 21 perkara atau tuntutan dikemukakan oleh kerajaan negeri Sabah dan Sarawak untuk dikaji, disemak serta dibincangkan namun sebahagian tuntutan dikemukakan ialah perkara yang sudah dibincang kerajaan terdahulu tetapi belum diselesaikan ketika itu.
“Daripada 21 tuntutan dikemukakan, sebanyak 17 perkara dibincangkan dan mendapat persetujuan bersama untuk diselesaikan secepat mungkin dan daripada 17 perkara berkenaan pula, sebanyak tiga perkara dianggap selesai sepenuhnya manakala baki 14 perkara memerlukan tindakan lanjut untuk dilaksanakan,” katanya.
Menurut Maximus, daripada 21 tuntutan dalam JKKK MA63 itu juga, empat perkara masih belum diselesaikan dan memerlukan perbincangan berterusan termasuk mengenai royalti minyak serta pembayaran tunai petroleum.
Katanya, tiga lagi perkara belum selesai berkaitan mineral dan medan minyak, Akta Laut Wilayah 2012 (Akta750) serta hak negeri ke atas pelantar benua.
“Berhubung cadangan pindaan kepada Perkara 1 Fasal 2 Perlembagaan Persekutuan, perkara ini masih belum diputuskan oleh majlis khas kerana masih terdapat beberapa perkara memerlukan penelitian luas terutama berkaitan implikasi daripada sudut perundangan sebelum sebarang keputusan mengenainya boleh dibuat,” katanya.
Beliau berkata, majlis khas itu ditubuhkan pada 16 September lalu bagi memantau tindakan terhadap perkara-perkara yang perlu diselesaikan.
“Majlis khas ini dianggotai perdana menteri, ketua menteri Sarawak, ketua menteri Sabah dan lapan menteri kerajaan persekutuan serta pegawai tertinggi Persekutuan, kerajaan Sabah dan Sarawak.
“Majlis khas ini akan mengadakan mesyuarat pertama pada 30 November depan,” katanya.

Leave a comment