
SABAHTODAY
PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Gerik, Perak dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya, Sabah, dijalankan serentak pada 16 Januari 2021.
Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh hari penamaan calon ditetapkan pada 4 Januari manakala undian awal pada 11 Januari.
DUN Bugaya kosong selepas penyandangnya, Manis Muka Mohd. Darah meninggal dunia pada 17 November lalu akibat sakit buah pinggang.
Penyandang Parlimen Gerik, Datuk Hasbullah Osman pula meninggal dunia sehari sebelum itu disebabkan serangan jantung.
Sementara itu, Abdul Ghani berkata, PRK Batu Sapi akan diadakan dalam tempoh 60 hari selepas tamat tempoh Proklamasi Darurat yang diisytiharkan di kawasan itu.
Beliau berkata tempoh itu adalah sama seperti ketika SPR menerima pemakluman rasmi mengenai kekosongan luar jangka mana-mana kerusi Parlimen atau DUN.
“Seolah-olah baru juga diterima surat (pemakluman) daripada speaker. Maknanya kita ada tempoh 60 hari untuk melaksanakan tugas kita melaksanakan pilihan raya,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat urusan PRK Parlimen Gerik, Perak dan DUN Bugaya, Sabah, di sini hari ini.
Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 18 Nov telah mengisytiharkan Proklamasi Darurat di Parlimen P.185 Batu Sapi, Sabah, sekali gus membatalkan PRK kerusi itu sebagai langkah proaktif untuk membendung pandemik COVID-19.
Proklamasi darurat itu adalah berdasarkan Fasal (1) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan yang dilakukan selepas Seri Paduka memperhalusi penjelasan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mempersembahkan nasihat beliau susulan keputusan mesyuarat jemaah menteri berhubung perkara tersebut.

Leave a comment