
SABAHTODAY
KOTA KINABALU: Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Maritim Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan telah menerima laporan kejadian sebuah bot fiber karam di muara Sungai Bolong, Tuaran pada jam lebih kurang 9.23 pagi tadi.
Menurut Laksamana Pertama (M) Datuk Mohd Rosli bin Abdullah, Pengarah Maritim Negeri Sabah dan W.P Labuan, mangsa yang hilang Manji bin Baka, lelaki berumur lebih kurang 50 tahun yang dikatakan telah keluar memancing bersama tiga orang rakannya pagi tadi bagaimanapun bot mereka telah dipukul ombak sehingga terbalik.
Tiga daripada mereka telah selamat manakala mangsa telah karam bersama bot yang mereka naiki.
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) telah diaktifkan pada jam lebih kurang 10.30 pagi tadi.

Bot ronda APMM Kilat 39 telah ke lokasi pencarian bersama aset agensi sahabat yang lain antaranya, bot ronda PGR 6 (PDRM) dan pasukan BOMBA bersama sebuah jentera turut berada di lokasi.
Mohd Rosli memaklumkan keluasan pencarian mangsa merangkumi keluasan 5 batu nautika persegi dari lokasi terakhir mangsa dilaporkan karam.
Keadaan laut yang bergelora dan arus yang kuat pada masa sekarang juga menyebabkan perkara yang tidak ingini berlaku kepada komuniti maritim yang melakukan aktiviti di laut.
Justeru Maritim Malaysia menyeru kepada semua komuniti maritim untuk sentiasa peka dengan keadaan laut dan cuaca semasa, sekiranya mahu melakukan aktiviti di laut pastikan keluar berkumpulan dan harus pakai jaket keselamatan.
Komuniti maritim juga disarankan untuk untuk memiliki ‘Personal Locator Becon’ (PLB), selain itu perlu untuk dibawa bersama alat keselamatan yang lain seperti wisel dan lampu suluh.
Maritim Malaysia mohon kerjasama daripada komuniti maritim untuk melaporkan kecemasan yang berlaku di sekitar perairan Kota Kinabalu ditalian Pusat Operasi Maritim Negeri Sabah 088-387774 dan talian MERS 999.

Leave a comment