
SABAHTODAY
KOTA KINABALU: Parti Warisan Sabah mengulangi penegasan tiada kerjasama dijalankan bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) untuk memastikan Tan Sri Muhyiddin Yassin kekal sebagai Perdana Menteri.
Timbalan Ketua Wirawati Warisan, Jo-Anna Sue Henley Rampas berkata, tiada sebab untuk Warisan bekerjasama dengan PPBM yang banyak menyusahkan parti itu.
“Pertama sekali PPBM telah membelakangi janji untuk tidak membuka cawangan di Sabah, kedua selepas sahaja kerajaan Pakatan Harapan (PH) tumbang bulan Februari, PPBM mendesak Shafie untuk tunduk kepada Perikatan Nasional (PN), akhir sekali tindakan licik dan pengecut mereka dalam cubaan merampas kuasa daripada Warisan Plus.
“Maka, jika ada sesiapa yang gembira melihat Muhyiddin merasai sendiri masalah yang dilakukannya sudah tentu Warisan Plus. Nasihat saya kepada pemimpin PH nasional yang tidak pernah merasai kesukaran Warisan dan tiba-tiba sahaja menuduh bekerjasama dengan PN agar jaga mulut anda,” katanya.
Katanya, contoh komitmen dan maruah yang ditunjukkan Ahli parlimen Warisan di bawah kepimpinan Shafie membolehkan mereka menyelesaikan beberapa isu berkaitan Sabah.

“Khamis lalu, semasa perbahasan di peringkat Jawatankuasa Warisan Plus mengundi usul dibawa UPKO kerana fokus kami adalah demi Sabah dan mengekalkan hubungan antara UPKO dan Warisan,” katanhya.
Semasa perbahasan usul Belanjawan 2021, Warisan berjaya membawa dua penambahbaikan diperjuangkan oleh Warisan iaitu menambah peruntukan Covid-19 sebanyak RM50 juta dan mengkaji semula Elaun Perumahan Wilayah (EPW).
Oleh itu, persoalan kononnya Warisan tidak melakukan kerja untuk Sabah adalah mengelirukan, sebaliknya Sabahan sepatutnya bertanya kepada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) apa yang mereka sumbangkan dalam Belanjawan 2021?,” soal Jo-Anna.
Jo-Anna berkata, Warisan akan meneruskan kerjasama politik dengan PH dan pembangkang yang lain tetapi mengulangi gesaan mahu seorang ketua pemimpin pembangkang yang berkredibiliti.
“Warisan percaya kunci kepada kemenangan pilihan raya akan datang ialah dengan menyatukan rakyat Malaysia tidak kira bangsa dan agama serta membuktikan maksud sebenar Bangsa Malaysia.
“Kemudian tampil dengan pembaharuan dalam sosial dan ekonomi kerana ini adalah isu-isu yang membahagi-bahagikan rakyat sejak dari awal,” katanya.
Menurutnya, Warisan masih menghormati kerjasama dengan PH dan UPKO tetapi hilang kepercayaan dengan kemampuan ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Warisan tidka boleh berterusan membenarkan diri sendiri dipergunakan untuk agenda peribadi seseorang yang tidak berfaedah untuk Sabah.
“Lebih tepat untuk pendirian parti diketahui sekarang bukannya apabila pilihan raya sudah hampir,” tambahnya.

Leave a comment