SABAHTODAY
KUALA LUMPUR: Sebanyak 107 permohonan di bawah Skim Pembiayaan Tanam Semula Pekebun Kecil Sawit (TSPKS) dan Skim Pembiayaan Mudah Input Pertanian Pekebun Kecil Sawit (IPPKS) telah diluluskan setakat 31 Oktober tahun ini.

Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali berkata, sebanyak RM5.3 juta peruntukan diluluskan membabitkan keluasan 381 hektar bagi TSPKS.

“Bagi IPPKS pula, untuk negeri Sabah, sebanyak 26 permohonan dengan nilai RM292,000 telah diluluskan. Kelulusan ini melibatkan keluasan tanah pekebun kecil persendirian seluas 116 hektar,” katanya dalam Dewan Rakyat hari ini.

MOHAMADDIN KETAPI

Beliau menjawab soalan dikemukakan Datuk Mohamaddin Ketapi (Warisan-Lahad Datu) yang bertanya tentang jumlah kelulusan yang telah diberikan di bawah program berkenaan bagi membantu pekebun sawit di Sabah.

Mohamaddin turut bertanya apakah usaha yang dilakukan kerajaan untuk memastikan pekebun kecil persendirian (PKP) di Sabah mendapatkan persijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO).

Menjawab soalan itu, Mohd. Khairuddin berkata, kerajaan prihatin memastikan PKP menerima sijil MSPO justeru antara langkah yang diambil ialah menanggung kos yang perlu dibayar PKP.

“Kos yang terlibat merangkumi kos latihan, kos pengauditan, kos pembelian alat perlindungan peribadi dan rak bahan kimia.

“Dalam hal ini kerajaan telah menubuhkan 162 kelompok Kluster Minyak Sawit Mampan (SPOC) di seluruh negara untuk mengumpulkan para PKP di dalam kelompok-kelompok pengurusan yang dikendalikan pegawai Tunjuk Ajar dan Nasihat Sawit (TUNAS), Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB),” katanya.

Menurut beliau, bagi PKP yang belum menerima MSPO, kementerian sedang berusaha untuk mempersiapkan mereka menerima persijilan berkenaan.

“Melalui penglibatan di dalam SPOC seluruh negara, para PKP akan diberi latihan mengenai MSPO secara berterusan.

‘Bagi memantapkan lagi MSPO dan mengukuhkan kesedaran para PKP, pihak kementerian juga telah dan sedang giat menjalankan program jerayawara MSPO di seluruh negara, ini adalah salah satu usaha untuk memberikan penerangan kepada setiap PKP,” tambahnya.

Leave a comment

I'm Emily

Welcome to Nook, my cozy corner of the internet dedicated to all things homemade and delightful. Here, I invite you to join me on a journey of creativity, craftsmanship, and all things handmade with a touch of love. Let's get crafty!

Let's connect

Design a site like this with WordPress.com
Get started