
SABAHTODAY
KOTA KINABALU: Cadangan untuk Parti Warisan Sabah (WARISAN) melebarkan sayap ke Semenanjung adalah keputusan parti tanpa dipengaruhi mana-mana pihak.
Setiausaha Agung WARISAN, Datuk Loretto Padua Jr. berkata, tiada individu lain termasuk Tun Dr Mahathir Mohamad terlibat dalam mempengaruhi keputusan tersebut.
“Ini adalah keputusan parti sendiri, tidak dipengaruhi oleh sesiapa sama ada Dr. Mahathir atau individu lain.

“Konsep ‘unity’ atau perpaduan dan membina negara bukannya satu bangsa tertentu sahaja yang menjadi asas kepada WARISAN telah menarik minat rakyat Malaysia terutama yang telah bosan dengan polemik bangsa atau agama,” katanya dalam satu kenyataan.
Katanya, rakyat yang percaya kepada politik bermaruah, kredibiliti, toleransi dan menerima kewujudan antara satu sama lain kini melihat WARISAN sebagai parti alternatif.
“Jika parti politik seperti UMNO, Bersatu, PAS, PKR dan DAP boleh menjadi parti nasional dan berkembang di Sabah, maka kenapa WARISAN tidak boleh melakukan perkara sama dan menawarkan konsep yang lebih ideal kepada rakyat Malaysia di Semenanjung?,” kata Loretto.
Menurut Loretto, penduduk Semenanjung tidak mempunyai masalah untuk menerima dan menyokong WARISAN kerana parti ini memperjuangkan Unity dalam masyarakat yang berbilang kaum dengan Sabah sebagai contoh.
“Sebagai parti yang bermodelkan toleransi kepelbagaian kaum dan harmoni, WARISAN adalah sesuai untuk mempromosikan idea ini ke seluruh negara, kita bina negara bersama-sama.
“Amat tidak masuk akal untuk menghalang WARISAN agar kekal menjadi parti negeri semata-mata.
“Pandangan tersebut sangat bercanggah dengan semangat Sabah sebagai rakan sekutu Persekutuan Malaysia seperti yang dipersetujui bapa kemerdekaan kita iaitu Sabah mempunyai peranan dalam menentukan hala tuju negara,” katanya.

Leave a comment