
SABAHTODAY
KOTA KINABALU: Parti Warisan Sabah (WARISAN) tidak perlu menggunakan nama baharu untuk melebarkan sayap ke Semenanjung memandangkan akronim WARISAN sudah cukup untuk digunakan.
Presiden WARISAN, Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie Apdal berkata, parti itu juga boleh membuka cawangan di mana-mana tempat di Semenanjung, tanpa melanggar apa-apa peraturan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) atau Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS).
“Artikel 7 Perlembagaan parti jelas menyatakan parti kita sudah pun termaktub di situ mengikut SPR, SPR mewujudkan setiap bahagian di mana-mana tempat, WARISAN juga boleh mewujudkan mana-mana bahagian di mana-mana kawasan yang telah diluluskan oleh SPR.
“Tidak bercanggah dengan Perlembagaan parti dan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS),” katanya dalam sidang akhbar selepas Perhimpunan Agung WARISAN 2019 semalam.
Usul untuk melebarkan sayap WARISAN di Semenanjung telah dipersetujui sebulat suara dalam perhimpunan agung tersebut.
Mohd Shafie berkata, permintaan untuk WARISAN ditubuhkan di Semenanjung telah lama dibuat oleh rakyat Sabah yang bekerja di sana, justeru sekarang adalah masanya untuk melaksanakannya.
“Bila kita berada di sana kita dapati kenapa WARISAN tidak dikembangkan ke Semenanjung kerana rakyat Malaysia dari Sabah agak ramai lebih daripada 300,000 yang mereka nyatakan tidak boleh balik walaupun sesetengah mereka pengundi di Sabah atau Semenanjung.
“Mereka nyatakan lebih baik kalau jika dapat menunaikan tanggungjawab dengan adanya pelebaran sayap WARISAN ke Semenanjung ini bukanlah satu perkara yang agak ganjil, saya yakin banyak parti berdaftar di Sabah termasuk PBS dan UPKO pernah bertanding di Semenanjung.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Semporna berkata, WARISAN masih belum menetapkan lokasi parti itu akan dibuka, namun pertimbangan dibuat berdasarkan kawasan yang mempunyai ramai pengundi dari Sabah serta mendapat permintaan rakyat.
Tambahnya, langkah tersebut tidak mendapat tentangan Pakatan Harapan (PH), malah mereka sendiri telah memberikan cadangan tersebut sebelum ini.
“Tidak semua kawasan kita akan pilih kawasan yang ada, pertama ialah kepadatan rakyat daripada Sabah dan di samping itu kita juga melihat di mana ada kehendak masyarakat yang mahu supaya kita wujudkan untuk penyertaan kita.
“Di seluruh tempat yang ada yang kita tahu banyak masyarakat Sabah yang ada, di Johor, Selangor malahan kalau tiada masyarakat dari Sabah ada yang mahu dari Kedah yang saya dulu pernah berkhidmat, malahan yang tiada tempat dalam UMNO tidak kisah jadi ketua bahagian,” katanya.

Leave a comment