
SABAHTODAY
KOTA KINABALU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) digesa menyiasat penyaluran wang rakyat mencecah berjuta-juta ringgit kepada pemimpin-pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) di seluruh Sabah.
Kata Ketua Cawangan Warisan Kota Kinabalu Samuel Wong pada hari Isnin, perkara ini diketahui umum sejak semalam, apabila sekeping surat yang ditandatangani Jabatan Ketua Menteri menjadi tular.
“Surat berkenaan memaklumkan arahan dikeluarkan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor agar setiap satu bahagian diberikan RM10,000 sebulan bermula 1 November lalu.”
“Ini bermakna, setiap Ketua Bahagian akan menerima sejumlah RM120,000 daripada wang cukai rakyat setiap tahun.”

“Kalau kesemua 25 Ketua Bahagian PPBM dapat setiap seorang RM120,000, setahun sudah RM3 juta.”
Terdapat sebanyak 25 bahagian PPBM di seluruh negeri.
Samuel menambah, pemberian peruntukan tersebut menyalahi undang-undang kerana melibatkan penggunaan wang rakyat untuk tujuan politik.
“Duit rakyat adalah untuk perbelanjaan kebajikan rakyat bukannya untuk parti politik seperti yang dinyatakan di dalam surat tersebut.
“Jika surat tersebut betul, ini adalah terang-terangan perbuatan pecah amanah oleh Ketua Menteri Sabah.”
Samuel menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) agar tampil menyiasat perbuatan tersebut demi menyelamatkan duit rakyat.
Surat bertarikh 30 Oktober tersebut ditandatangani Ketua Penolong Setiausaha Bahagian Pengurusan dan Kewangan Jabatan Ketua Menteri.
Surat berkenaan turut menyatakan bagi kawasan Parlimen yang bukan dimenangi PPBM, wang berkenaan akan diuruskan oleh Ketua Bahagian PPBM.

Leave a comment