
SABAHTODAY
KOTA KINABALU: Parti Warisan Sabah (Warisan) perlu diremajakan sepanjang masa dengan menempatkan lebih ramai pemimpin muda dalam kalangan Wira dan Wirawati untuk kekal relevan di mata rakyat di negeri ini.
Ketua Wira Warisan, Datuk Mohd Azis Jamman berkata, dalam pilihan raya akan datang, Warisan perlu meletakkan ramai calon muda bagi membolehkan parti ini terus diremajakan selaras dengan peredaran zaman.
Bermula tahun hadapan, anak muda berusia 18 tahun secara automatik layak menjadi pengundi berdaftar.
Katanya, kelompok pengundi muda ini mempunyai pertimbangan yang berbeza dimana, mereka lebih melihat kepada keperibadian seseorang dan bukannya memilih parti.
“Pertimbangan mereka ini jauh lebih liar, mereka tidak melihat kepada parti, mereka menilai keperibadian, personaliti dan tingkah laku maka, rakan-rakan Wira harus memulakan gerak kerja dari sekarang bagi memenangi hati pengundi muda.

“Usaha remajakan parti perlu dilakukan dan rakan-rakan Wira dalam parti perlu bersedia memikul tanggungjawab ini.
“Zaman dulu dan sekarang tidak sama. Keadaan politik bukan lagi pertembungan satu blok parti dengan blok lain. Sekarang sudah lain. Jadi, kepimpinan dalam kalangan Wira penting untuk membuktikan kemampuan diri,” katanya semasa ucapan penggulungan sempena Persidangan Wanita, Wira & Wirawati Warisan 2019, di sini baru-baru ini.
Mohd Azis berkata, beliau sedia berundur di Parlimen Sepanggar jika ada dalam kalangan Wira yang mempunyai peluang kemenangan yang besar.
Katanya, dalam politik harus berjiwa besar kerana jawatan dan pangkat bukan milik diri sendiri. Ia adalah amanah yang diberikan oleh rakyat yang harus dipikul dengan sebaiknya.
Oleh itu, Wira Warisan perlu mengatur gerak kerja bermula dari sekarang jika ingin bertanding dalam pilihan raya akan datang.
Bagaimanapun, tidak mungkin untuk Warisan bertanding di semua 26 kerusi parlimen kerana dalam dunia politik perlu ada semangat perkongsian dan Warisan faham konsep berkenaan.
Dalam perkembangan lain, Mohd Azis meminta kepimpinan Angkatan Muda Keadilan bersikap terbuka dalam menerima pandangan yang dilontarkan oleh pemimpin Wirawati Warisan yang mencadangkan reformasi perlu dilakukan dalam kepimpinan pembangkang.
“Itu hanya pandangan kita berasaskan apa yang kita lihat, kenyataan yang ada di depan kita. Bagaimanana mungkin kita mahu menumbangkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) kalau pendirian di pihak pembangkang sendiri sentiasa berubah-ubah.
“Saya ingin mengingatkan kepada rakan-rakan kita, walau kita (Warisan) dalam blok pembangkang, kita bukan sebahagian dari PH. Kita hanya sebahagian daripada pembangkang kerana prinsip yang kita pegang. Bila kita menyatakan perubahan dalam pucuk pimpinan PH, itu hanya sekadar pandangan kita,” jelasnya.

Leave a comment