
SABAHTODAY
KUALA LUMPUR: Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya dan PRK Parlimen Gerik yang dijadualkan 16 Januari depan ditangguhkan.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, darurat disytiharkan di kedua-dua kawasan berkenaan selepas mendapat perkenan Yang DiPertuan Agong.

Katanya, permohonan perkenan Seri Paduka telah disampaikan Jemaah Menteri.
“Adalah dimaklumkan bahawa saya telah menyembah maklum akan nasihat Jemaah Menteri kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-
Pertuan Agong supaya Seri Paduka Baginda mengisytiharkan darurat bagi Bahagian Pilihan Raya Parlimen Gerik, Perak dan Bahagian Pilihan Raya Negeri Bugaya, Sabah.
“Seri Paduka Baginda telah berkenan untuk mengisytiharkan darurat bagi kedua-dua PRK tersebut setelah Seri Paduka Baginda berpuas hati bahawa adanya keperluan Pengisytiharan Proklamasi Darurat berdasarkan Fasal (1) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini menetapkan 16 Januari untuk PRK di kedua-dua kawasan tersebut manakala hari penamaan calon pada 4 Januari.
Muhyiddin berkata, mengambil iktibar penularan COVID-19 susulan Pilihan Raya Negeri Sabah sebelum ini, Jemaah Menteri berpandangan kedua-dua PRK ini perlu dielakkan atas faktor ancaman kesihatan awam, ancaman ke atas kehidupan ekonomi dan ancaman ketenteraman awam.
“Saya bagi pihak Jemaah Menteri menjunjung setinggi-tinggi kasih kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong atas perkenan Seri Paduka Baginda untuk mengisytiharkan darurat bagi kedua-dua bahagian pilihan raya berkenaan,” katanya.

Leave a comment