
SABAHTODAY
KOTA KINABALU: Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) digesa untuk mengikut jejak Warisan Plus dalam menyalurkan peruntukan yang besar bagi membantu sekolah mubaligh dan institusi bukan beragama Islam di negeri ini.
Dalam pembentangan Belanjawan Negeri esok, diharap peruntukan yang besar turut diberikan kepada sekolah mubaligh dan institusi bukan beragama Islam di Sabah.
Ahli Dewan Undangan Negeri Jannie Lasimbang berkata, ketika Warisan Plus menjadi kerajaan peruntukan bagi sekolah mubaligh meningkat saban tahun.
Dalam tempoh lebih dua tahun, bantuan kepada sekolah mubaligh ditambah dari RM32 juta kepada RM43 juta. Pada 2018, kerajaan Warisan Plus memperuntukkan RM32 juta kemudian pada awal tahun ini, sejumlah RM43 juta diperuntukkan bagi membantu institusi bukan beragama Islam dan sekolah mubaligh.

Melihat komitmen kerajaan Warisan Plus dalam membantu agama lain, Jannie meminta kerajaan GRS untuk mengambil pendekatan sama seperti dilakukan Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal kepada institusi bukan beragama Islam.
“Dahulu, selain memberi peruntukan yang tinggi kepada badan agama lain, Datuk Seri Shafie turut meluluskan peruntukan bagi membantu beberapa gereja dan sekolah mubaligh termasuk RM1 juta untuk Gereja ST Theresa, Tambunan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Komitmen diberikan Warisan Plus ini jauh berbeza dengan tuduhan yang dilemparkan melalui media sosial bahawa Warisan hanya menabur janji kosong untuk mendapatkan sokongan institusi bukan beragama Islam.

Sumbangan diberi Warisan itu turut mengundang komen berbaur perkauman yang dibuat oleh Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Sabah melalui Facebook page berbangsa Cina.
Jannie berkata, kesungguhan Warisan Plus membantu institusi bukan beragama Islam lain seperti gereja, kuil, sekolah mubaligh dan vernakular juga apabila peruntukan diberikan tahun lalu meningkat dua kali ganda berbanding tahun sebelumnya.
“Keadaan ini menunjukkan kerajaan ketika itu mempunyai hubungan baik dengan institusi bukan beragama Islam dan sekolah mubaligh di Sabah. Kerajaan Warisan Plus juga memastikan permohonan peruntukan itu dihebahkan bagi membantu sebanyak mana institusi yang boleh,” jelasnya.
Jannie berkata, Datuk Seri Shafie juga memberi kepercayaan kepadanya untuk berjumpa dengan pemimpin keagamaan bagi mendapatkan maklum balas mereka dan beliau berusaha menggalas tanggungjawab diberi dengan sebaik mugkin.
“Atas sebab itu, semasa pandemik Covid-19, mudah bagi saya untuk berkomunikasi dengan pemimpin gereja bagi meluluskan bantuan kepada paderi dan anggota gereja lain termasuk meminta mereka menetapkan prosedur operasi standard (SOP) semasa acara sembahyang berlangsung,” ujarnya.
Tambahnya, proses agihan bantuan semasa kerajaan Warisan Plus juga diberikan secara langsung kepada penerima. Ini adalah peluang yang terbaik untuk berjumpa dengan institusi bukan beragama Islam serta memantau proses projek pengubahsuaian yang telah diluluskan.

Leave a comment