
DUA SLOT HARUS JUGA DIBERIKAN KEPADA WAKIL KOMUNITI KADAZAN DUSUN
SABAHTODAY
KOTA KINABALU: Kaum Cina merupakan golongan terbesar peniaga di Puatan, tanpa sumbangan mereka Putatan tidak akan maju dan membangun seperti hari ini.
Bagaimanapun, daripada 18 Ahli Majlis Daerah (AMD) Putatan yang dilantik, tiada seorang pun daripada kaum berkenaan.
Berikutan itu, ADUN Petagas, Datuk Awang Ahmad Sah tampil menegur kerajaan negeri agar memperbaiki kelemahan tersebut.
Berikut kenyataan penuh beliau:

Tahniah saya ucapkan kepada 18 Ahli Majlis Daerah (AMD) Putatan yang baru mengangkat sumpah pada 7 Disember lepas.
Saya percaya mereka-mereka ini dipilih bukan secara rambang tapi berdasarkan kepada kredibiliti yang dimiliki bagi membantu pentadbiran Majlis Daerah Putatan.
Walau bagaimanapun, saya agak terkilan kerana tiada wakil daripada kaum Cina sedangkan mereka ini adalah komuniti peniaga yang terbesar dalam daerah ini.
Di samping itu, hanya seorang wakil dari kaum Kadazan Dusun yang dilantik sedangkan dalam pentadbiran sebelum ini terdapat 5 wakil Kadazan Dusun dan seorang wakil dari komuniti Cina.
Mungkin ada yang terlepas pandang tapi sebagai anak jati Putatan, saya tahu ada ramai yang layak tapi mereka ini seakan tidak diendahkan.
Kepada Menteri Pembangunan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Ir. Shahelmy Yahya yang juga merupakan ADUN Tanjung Keramat, saya ingin cadangkan agar representasi AMD ditambah kepada 20 ahli dari 18 sekarang ini.
Lebihan dua slot itu harus diberikan kepada wakil komuniti Kadazan Dusun dan Cina bukan dari kalangan adik-beradik dengan pemimpin politik.
Ini penting untuk menjaga keharmonian masyarakat berbilang kaum Putatan yang sudah lama terbina dan ditambahbaik oleh kerajaan Warisan Plus yang lalu.
Terdapat hampir 10 ribu penduduk dari kaum Kadazan Dusun dan Cina menetap di daerah Putatan dan selayaknya diberi lebihan dari segi perwakilan sebagai AMD.
Di kesempatan ini juga, saya berharap agar lantikan sebagai Ketua Anak Negeri (KAN) dan juga Wakil Ketua Anak Negeri (WKAN) bagi DUN Petagas dapat diberikan kepada wakil dari Kadazan Dusun.
Kerajaan yang lalu telah memperuntukan slot untuk Kadazan Dusun sebagai KAN dan WKAN. Maka adalah wajar untuk ianya diteruskan.
Setakat ini, saya belum nampak ada nama daripada masyarakat Kadazan Dusun yang diumumkan.
Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) harus lebih bersifat inklusif dalam pentadbiran mereka, terutama sekali di Putatan agar keharmonian dan kemakmuran terus terjaga.
Jangan hukum mereka hanya kerana mereka ini bukan pengundi kamu semasa PRN yang lepas.

Leave a comment