
SABAHTODAY
KOTA KINABALU: Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) diberi peringatan agar menjaga hubungan baik dengan syarikat penerbangan AirAsia Berhad yang akan memainkan peranan memacu sektor pelancongan Sabah selepas berakhirnya pandemik Covid-19 bermula tahun depan.
Sarifuddin Hata (WARISAN-Merotai) berkata, Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor dalam Belanjawan 2021 Sabah telah menyatakan bahawa seramai 1.3 juta pelancong dijangka datang ke Sabah tahun hadapan, justeru peranan AirAsia tidak boleh dipertikaikan sebagai antara pelabur penting sektor pelancongan negeri.
Sebelum ini, wujud persepsi negatif terhadap AirAsia selepas Kerajaan Sabah pimpinan WARISAN meluluskan pinjaman sebanyak RM300 juta melalui Sabah Development Bank kepada syarikat penerbangan itu yang bertujuan menjana sektor pertanian negeri di bawah program OurFarm.

Hajiji turut dilaporkan meminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) agar tampil menyiasat urusan transaksi berkenaan.
“Apabila kenyataan-kenyataan dibuat berdasarkan andaian dan syak wasangka akhirnya akan menimbulkan persepsi yang tidak baik terhadap kerajaan negeri Sabah oleh pihak pelabur khususnya pihak Air Asia Bhd.
“Niat pelabur untuk membantu merancakkan ekonomi negeri kita akan menjadi tawar. Dalam ucapan pembentangan belanjawan oleh Ketua Menteri ada menyatakan bahawa kedatangan pelancong pada tahun 2021 adalah dianggarkan seramai 1.3juta dan anggaran pendapatan pelancongan yang bakal di terima adalah sebanyak RM2.51 Bilion.
“Ketua Menteri juga ada menyatakan bahawa Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar akan melipat gandakan usaha menarik semula syarikat-syarikat penerbangan yang telah menghentikan laluan antarabangsa tanpa henti dan sewa khas ke Sabah apabila sempadan antarabangsa dibuka semula,” katanya dalam perbahasan Belanjawan Sabah 2021 di Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.
Sarifuddin berkata, AirAsia merupakan syarikat penerbangan yang paling banyak beroperasi di Sabah ketika ini, malah semasa pandemik Covid-19 melanda, syarikat berkenaan juga masih meneruskan penerbangan.
Tegasnya, AirAsia bukan sahaja akan merancakkan kemasukkan pelancong ke Sabah melalui tambang murah yang ditawarkan, malah SDB yang merupakan syarikat milik kerajaan akan menerima manfaat daripada bayaran balik pinjaman tersebut.
“Maka dengan itu, hubungan baik dengan semua pihak, apatah lagi para pelabur dan penyumbang kepada ekonomi negeri harus dijaga dengan baik kerana ianya akan menguntungkan kedua-dua belah pihak.
“Selain keuntungan daripada sektor pelancongan yang akan kita akan peroleh, kita juga memperoleh keuntungan hasil bayaran balik pinjaman melalui syarikat GLC negeri iaitu Sabah Development Bank.
“Bahkan kita akan mendapat manfaat dalam sektor pertanian dan perikanan kerana Air Asia juga boleh membantu memasarkan hasil-hasil kita sehingga ke luar negara terutamanya ke Pasaran terbesar dunia iaitu negara China,” katanya.

Leave a comment