
SABAHTODAY
KOTA KINABALU: Usaha berterusan kerajaan pimpinan Warisan membolehkan kerajaan hari ini dapat menikmati hasil Cukai Jualan Negeri ke atas produk petroleum.
Usaha itu berkat kerja keras Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie Apdal dalam memperjuangkan hak Sabah seperti yang terkandung dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kapayan, Jannie Lasimbang berkata, usaha berterusan mantan Ketua Menteri itu seharusnya dihargai.
Kini, Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bakal memperoleh RM4.48 billion hasil kutipan Cukai Jualan tersebut pada tahun depan.

Langkah kerajaan Warisan melakukan pindaan dalam enakmen cukai negeri membolehkan Sabah memperoleh manfaat daripadanya.
Pindaan enakmen itu membolehkan peningkatan diperoleh dalam jumlah hasil pendapatan Sabah.
“Cukai Jualan Negeri ke atas produk petroleum ini diumumkan akan menyumbang sebanyak 27.9 peratus hasil pendapatan Sabah pada 2021, dengan anggaran kutipan cukai berjumlah RM4.48 billion.
“Baru-baru ini, Petronas dikatakan bersetuju untuk membayar Cukai Jualan Negeri ini dan Sabah dianggarkan menerima RM1.25 billion daripada kutipan itu,” katanya semasa ucapan perbahasan Belanjawan Negeri 2021, di DUN Sabah, pada Isnin.
Ketua Wanita Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sabah ini berkata, usaha Datuk Seri Shafie dalam memperkenalkan kutipan Cukai Jualan Negeri itu amat membantu lebih-lebih lagi kerana Pemberian Khas dari kerajaan Persekutuan meningkat kepada RM53.4 juta tahun ini, kembali menurun kepada hanya RM26.7 juta pada 2021.
Dalam pada itu, Jannie turut mempertikaikan peruntukan kepada Unit Ikrar di bawah Jabatan Ketua Menteri (JKM).
Beliau mahu Menteri Kewangan menjelaskan apa tujuan peruntukan diberikan kepada Unit Ikrar tersebut.

Leave a comment