
SABAHTODAY
KOTA KINABALU: Kejayaan Parti Warisan Sabah (WARISAN) mentadbir Sabah dengan seperti dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) merupakan pengiktirafan kepada kepimpinan Presiden WARISAN, Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie Apdal.
LKAN 2019 yang dikeluarkan baru-baru ini menunjukkan kedudukan kewangan kerajaan negeri Sabah berakhir 31 Disember 2019 stabil serta kukuh hasil usaha Shafie melakukan penjimatan walaupun beliau terpaksa membayar hutang RM1 bilion peninggalan kerajaan Barisan Nasional (BN) pada 2018.
Bendahari Agung WARISAN, Terrence Siambun berkata, laporan audit itu menunjukkan pemimpin dari Sabah seperti Shafie mempunyai kewibawaan untuk mentadbir negara bukannya hanya dimonopoli oleh pemimpin dari Semenanjung.
Katanya, pengurusan kewangan yang berhemah dan kukuh sepanjang pentadbiran Shafie menunjukkan pemimpin dari Sabah dan Sarawak mampu memimpin negara ke hala tuju yang tepat.
“Ini adalah sesuatu yang boleh diharapkan oleh Pakatan Harapan (PH) dan pengundi kalau kita mahu menyelamatkan serta membina semula Malaysia, iaitu kita perlukan pemimpin yang mempunyai merit dan rasa tanggungjawab pada negara.

“Masih ramai yang percaya bahawa ini adalah tugas pemimpin Semenanjung untuk memimpin Malaysia tetapi nampaknya negara ini semakin ketinggalan sejak Tun Dr. Mahathir Mohamad melepaskan jawatan pada 2003,” katanya dalam satu kenyataan.
Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, ekonomi Malaysia agak malap menyebabkan gelaran Harimau Asia yang diberikan kepada negara ini oleh ahli ekonomi hilang.
Beberapa isu kini melanda negara seperti kemiskinan, jurang pembangunan antara bandar dan luar bandar, perkauman dan polarisasi agama serta yang terbaharu antisekularisme.
Amat menarik apabila pelbagai perancangan, strategi dan polisi yang diumumkan Perdana Menteri dari Semenanjung serta ahli politik dan akademik mereka namun Malaysia masih gagal untuk berubah.
“Mungkinkah ini memberitahu kita bahawa pemimpin dari Semenanjung telah hilang keupayaan untuk mentadbir negara ke jalan yang betul,” soal Terrence.
Terrence percaya bahawa kepentingan politik menjadi penyebab Perdana Menteri dari Semenanjung gagal membawa negara maju ke hadapan sama ada mereka daripada PH atau Perikatan Nasional (PN), justeru ini sebabnya Malaysia memerlukan seorang pemimpin yang neutral untuk membolehkan Malaysia sekali lagi bersaing dengan negara-negara jiran.
“Mana-mana pemimpin daripada PH yang akan menjadi Perdana Menteri akan mendapati amat sukar untuk menyesuaikan diri dengan polarisasi dalam negara serta untuk mencapai perpaduan dalam Malaysia Baharu kerana keputusan politik yang diambil akan sentiasa mengutamakan kumpulan pengundi terbesar iaitu kaum Melayu di pedalaman.
“Inilah yang terjadi pada Tan Sri Muhyiddin Yassin sekarang yang ditolak oleh kaum Cina dan India kerana pendirian antisekular, maka jika PH mengambil alih kerajaan pada PRU15, membina semula negara yang berpadu akan memakan lebih banyak masa kerana polarisasi yang semakin teruk daripada yang dijangka,” katanya.
Menurut Terrence, WARISAN sebaliknya memahami keperluan pengundi Melayu di pedalaman kerana ‘perlindungan dan layanan baik’ yang dimahukan sama dengan tuntutan Sabahan daripada Kerajaan Persekutuan dalam konteks rakan sekutu melalui Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Tidak seperti pemimpin politik lain yang menggunakan MA 63 sebagai umpan memancing undi, Shafie dan timbalannya, Datuk Darell Leiking tidak pernah menggunakan taktik menakut-nakutkan atau kebencian terhadap Malaya dalam mempromosikan MA63, sebaliknya menggunakan perjanjian itu untuk saling memahami dan mewujudkan perpaduan.
“Berada dalam politik selama lebih 30 tahun, memimpin beberapa Kementerian Persekutuan serta bekas Naib Presiden UMNO, Shafie adalah pemimpin yang diperlukan PH untuk menstabilkan negara,” jelasnya.
BERITA BERKIATAN: –
KEWANGAN SABAH KUKUH PENINGGALAN WARISAN KEPADA GRS – KETUA AUDIT

Leave a comment