
SABAHTODAY
KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah perlu lebih proaktif bagi meminta kerajaan persekutuan menurunkan kuasa bagi mempercepat pembinaan Kompleks Sukan Tenom yang sudah lama tertangguh.
Phoong Jin Zhe (DAP-Luyang) berkata, Lembaga Sukan Negeri Sabah (LSNS) dilengkapi dengan eksekutif teknikal dan profesional yang mampu melaksana pembinaan kompleks sukan tersebut.
Oleh itu, kerajaan negeri perlu mengambil pendekatan proaktif dan tidak hanya menunggu kerajaan persekutuan jika tidak mahu pembinaan Kompleks Sukan Tenom terus mengalami kelewatan.
Katanya, semasa beliau memegang jawatan Menteri Belia dan Sukan, beliau telah meminta kerajaan persekutuan untuk menurunkan kuasa bagi pelaksanaan projek persekutuan kepada LSNS.
Dengan itu, diharap menteri baharu ini akan terus memperjuangkan penurunan kuasa itu memandangkan Sabah kini sehaluan dengan kerajaan persekutuan.
Persoalan mengenai status projek pembinaan Kompleks Sukan Tenom itu dibangkitkan Datuk Rubin Balang (PN-Kemabong) dalam Persidangan DUN Sabah, hari ini.
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ellron Angin memaklumkan, tender bagi projek kompleks sukan itu telah dibuka namun, syarikat dilantik tidak memenuhi kelayakan dan itu mengakibatkan berlaku kelewatan dalam pembinaan kompleks tersebut.
Pembinaan Kompleks Sukan Tenom itu dianggarkan menelan perbelanjaan sebanyak RM11 juta, termasuk kemudahan padang bola sepak dan grandstand.
Jin Zhe berkata, kerajaan persekutuan mempunyai banyak projek yang ingin dilaksana dan itu menyebabkan pembinaan projek di Sabah sering mengalami kelewatan.
Katanya, sebelum ini kelulusan membina kompleks itu disetujui antara beliau dan mantan Menteri Belia dan Sukan Malaysia Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Tambahnya, diharap Menteri Belia dan Sukan persekutuan baharu akan mempercepatkan proses pembinaan Kompleks Sukan Tenom bagi membolehkan atlet di negeri ini mempunyai kemudahan sukan yang lebih berkualiti.

Leave a comment