
SABAHTODAY
KOTA KINABALU: Mahkamah Pilihan Raya Kota Kinabalu hari ini menolak petisyen pilihan raya kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Darau yang difailkan calon Barisan Nasional, Datuk Jumat Idris pada 20hb Oktober lalu.
Jumat dalam petisyen tersebut mencabar kemenangan dicapai calon Parti Warisan Sabah (Warisan), Azhar Matussin dengan majoriti 562 undi.

Dalam petisyen berkenaan, Jumat menamakan Azhar sebagai responden pertama, pegawai pengurus pilihan raya DUN Sabah sebagai responden kedua dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebagai responden ketiga.
Hakim Azahari Kamal Ramli membuat keputusan menolak petisyen berkenaan dan menerima bantahan awal dikemukakan peguam responden pertama dan peguam responden kedua dan ketiga selepas petisyen tersebut didapati mempunyai beberapa kelemahan dan pengingkaran dengan peraturan petisyen pilihanraya.
Hakim tersebut seterusnya mengumumkan bahawa Azhar sebagai calon yang dilapor pilih dan dipilih sewajarnya.
Dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah 26 September lalu, Azhar berjaya mendapat 5,805 undi menewaskan Jumat yang menerima 5,243 undi.
Empat calon lain di kerusi itu daripada LDP, PCS, USNO dan PGRS hilang wang deposit.
Azhar diwakili oleh peguam Benjamin Chin sebagai peguam utama bersama dengan peguam Jeko Kihit manakala responden kedua dan ketiga diwakili oleh barisan peguam negara.

Leave a comment