
OLEH PEMBERITA SABAHTODAY
KOTA KINABALU: Politik Malaysia harus keluar daripada cengkaman segelintir golongan Melayu elit.
Bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie Apdal berkata, dominasi golongan elit terutama dalam parti-parti Melayu meninggalkan ruang yang besar dalam politik Malaysia.
Katanya, golongan elit berkenaan memperjuangkan politik yang kononnya demi perpaduan, namun hakikatnya mereka terikat kepada fahaman agama dan perkauman semata-mata.
Hujahnya, retorik perpaduan Melayu telah terbukti hanya janji palsu, justeru perubahan sebenar politik perlu dilakukan melibatkan seluruh rakyat tanpa mengira agama dan bangsa demi membina Malaysia baharu yang lebih baik.

“UMNO, BERSATU dan PAS telah gagal membentuk kerajaan yang kukuh. Orang Melayu sendiri menderita apabila golongan Melayu elit dan berkuasa mensasarkan rakyat Melayu biasa kepada satu hala tuju sahaja sedangkan mereka tidak mengamalkannya,” kata Shafie.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam program tahunan Institut Kaki Selidik Asia Tenggara (ISEAS) – Institut Yusof Ishak yang berpangkalan di Singapura, The Regional Outlook Forum 2021 yang diadakan secara maya.
Tambahnya, kira-kira 70 peratus Melayu tinggal di bandar manakala 80 peratus rakyat Malaysia keseluruhannya pula turut tinggal di bandar.
“Bagaimanapun UMNO, PAS dan BERSATU masih lagi bekerja dengan asas bahawa majoriti Melayu di luar bandar. Tidak lama lagi mereka akan melihat sendiri pemberontakan orang Melayu di bandar yang akan pulang ke kampung masing-masing untuk mengundi,” Shafie berkata.

Selain itu, ideologi UMNO, PAS dan BERSATU mengecewakan golongan muda dan wanita iaitu sebahagian besar pengundi.
“Ideologi itu mengabaikan keperluan bukan Melayu. Lebih teruk lagi apabila mereka melihat kepelbagaian kaum di Sabah dan Sarawak sebagai pihak luar dalam permainan kuasa mereka,” katanya.
Justeru Shafie berkata politik Malaysia perlu ditetapkan semula pada 2021 dan masa hadapan.
“Ekonomi Malaysia telah terbantut sejak krisis kewangan 1998, kerana dihalang oleh politik kotor malah lebih teruk apabila institusi dalam negara kini tergugat.
“Naratif baharu Malaysia diperlukan dalam tiga tiang utama negara iaitu politik, ekonomi dan sosial – daripada pemerintahan dan akauntabiliti, pendidikan, teknologi, kesihatan dan mobiliti sosial.

“Tiada ruang untuk politik agama dan perkauman – UNITY perlu menjadi asas kepada reformasi yang perlu dilaksanakan melalui demokrasi – yang perlu diwakili semua pihak bertanggungjawab – tua dan muda, bandar dan luar bandar, liberal dan konservatif, dengan sistem pentadbiran berasaskan nilai yang melangkaui agama dan bangsa,” tambah beliau.
Shafie turut menekankan perlunya berganjak di luar politik peribadi antara Dr Mahathir (Mohamad) dan Anwar (Ibrahim).
“Kita perlu menggerakkan satu gerakan melibatkan semua rakyat Malaysia menentang orang lama dan golongan elit yang menguasi parti-parti politik untuk memberikan ruang kepada sesiapa sahaja bersuara serta mengembangkan potensi masing-masing,” katanya.
Menurut Shafie lagi rakyat harus bangkit, bersama-sama membina Malaysia baharu yang lebih baik.
“Rakyat Malaysia perlu menentukan masa depan sendiri, kita telah melalui tempoh sukar ini tetapi berbaloi untuk keluar daripada idea lama kepada idea baharu dan segar untuk membina negara Malaysia bagi berdepan dengan era pasca 2020.
“Kepada Tuhan Kita Yakin, Kita Mesti Berpadu,” katanya.

Leave a comment