
OLEH PEMBERITA SABAHTODAY
KOTA KINABALU: Satu lagi petisyen pilihan raya yang difailkan calon Barisan Nasional (BN) ditolak.
Semalam, Mahkamah Pilihan Raya menolak petisyen pilihan raya kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kukusan yang difailkan calon BN, Chaya Sulaiman pada 19 Oktober 2020.
Ini adalah petisyen pilihan raya ketiga yang ditolak oleh Mahkamah Pilihan Raya Kota Kinabalu selepas petisyen pilihan raya DUN Darau dan Sindumin.
Menerusi petisyen tersebut, Chaya mencabar kemenangan diperoleh calon Parti Warisan Sabah (Warisan), Rina Jainal yang menang dengan majoriti 10 undi.
Dalam petisyen itu, Chaya menamakan Rina sebagai responden pertama, pegawai pengurus pilihan raya DUN Kukusan sebagai responden kedua dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebagai responden ketiga.
Kemudian pada 16 November 2020, peguam mewakili Rina memfailkan permohonan menolak petisyen pilihan raya tersebut.
Hakim Dean Wayne Daly membuat keputusan menolak petisyen tersebut dan menerima bantahan awal dikemukakan peguam responden pertama dan peguam responden kedua dan ketiga selepas petisyen tersebut didapati mempunyai beberapa kelemahan dan tidak mematuhi peraturan pilihan raya.
Hakim seterusnya mengumumkan bahawa Rina kekal sebagai calon yang dipilih bagi DUN Kukusan.
Dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah 26 September 2020, Rina memperoleh 2,834 undi menewaskan Chaya yang menerima 2,824 undi.
Lima calon lain yang bertanding kerusi DUN Kukusan adalah Ismail Idris (USNO), Taufik Muin (PCS), Wong Jin Soon (Harapan Rakyat), Rosdiansa Mohd Noor (PPRS) dan Lee Boon King (Gagasan) dan kesemua calon ini kehilangan deposit.
Rina diwakili oleh peguam Kelly Teo Kat Le sebagai peguam utama bersama dengan peguam Raymond Guok Ker Rong dan Liew Hon Min, manakala responden kedua dan ketiga diwakili oleh barisan peguam negara.
Bagi kerusi DUN Sindumin dan Darau, calon BN telah memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Pilihan Raya yang telah membatalkan Petisyen Pilihan Raya yang difailkan bagi kedua-dua DUN tersebut.

Leave a comment