OLEH PEMBERITA SABAHTODAY
KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Darau, Azhar Matusin mahu pengagihan sumbangan kepada rakyat yang terjejas semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dipercepatkan tanpa melalui melalui Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB).

Beliau berkata, untuk memastikan bantuan dapat disalurkan dengan cepat, kerajaan GRS tidak sepatutnya merumitkan mana-mana pihak yang mahu memberi sumbangan secara langsung kepada golongan terjejas kerana akhirnya keadaan itu hanya akan menyusahkan rakyat.

“Janganlah menyusahkan rakyat. Akibat PKP, ada yang kelaparan merayu-rayu minta bantuan makanan. Kalau mereka lapar hari ini mengapa mereka perlu menunggu bantuan hingga beberapa hari hanya kerana bantuan tersebut perlu melalui PKOB.

“Apa salahnya benarkan sahaja mana-mana pihak menyalurkan bantuan secara langsung kepada yang layak bagi meringankan bebanan mereka. Yang penting SOP (prosedur operasi standard) mengekang pandemik COVID-19 dan keselamatan dipatuhi sebaiknya,” katanya ketika dihubungi SabahToday.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tentang arahan kerajaan negeri terhadap penyerahan sumbangan kepada golongan terjejas sepanjang tempoh PKP oleh badan bukan kerajaan, syarikat swasta, pemimpin masyarakat dan orang persendirian perlu melalui PKOB daerah.

Baru-baru ini, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Masidi Manjun berkata kerajaan negeri mengalu-alukan sumbangan daripada semua NGO, syarikat swasta, pemimpin masyarakat dan orang persendirian.

Bagaimanapun, sumbangan itu perlu disalurkan melalui PKOB di setiap daerah bagi tujuan penyelarasan dan kegagalan mematuhi arahan tersebut, akan dikenakan kompaun.

Mengulas lanjut, Azhar berkata kerajaan GRS perlu mencontohi cara kerja Warisan yang tidak melengah-legahkan proses pengagihan bantuan kepada semua yang terkesan semasa PKP pertama dahulu.

“Ikutlah cara warisan, hantar terus kepada pemimpin masyarakat contohnya ketua kampung sebab merekalah yang lebih kenal orang yang terkesan di Kawasan mereka supaya bantuan dapat diagihkan dengan cepat.

“Kalau mahu bagi lagi melalui PKOB, kesian orang kampung terpaksa menunggu. Rakyat susah, ada yang hilang punca pendapatan, business pun tidak ada…. Apabila buat PKP sepatutnya sudah difikirkan bagaimana untuk membantu rakyat yang terjejas dengan cara yang lebih efisien dan bukannya dengan mengeluarkan arahan bahawa sumbangan harus melalui PKOB.

“Saya memang tidak bersetujulah dengan arahan ini,” tegasnya.

Sementara itu, Presiden (penaja) Brotherhood WIRA, George Tann Jr. pula berpendapat arahan tersebut hanya akan menyusahkan pihak-pihak yang berhasrat untuk membantu mangsa-mangsa yang memerlukan.

GEORGE TANN

Katanya, kerajaan GRS seharusnya lebih bersifat terbuka dalam perkara ini memandangkan kerajaan Warisan dahulu tidak pernah memilih bulu dan mahu menyusahkan mana-mana pihak yang berhajat untuk membantu.

“Bantuan diberikan kepada semua yang memerlukan dan tidak ada sekatan atau halangan diberikan kepada pihak yang ingin menyampaikan bantuan.

“Malah kerajaan Warisan dahulu amat mengalu-alukan pihak-pihak yang ingin membantu terus kepada golongan sasaran asalkan segala garis panduan SOP keselamatan dan kesihatan dipatuhi oleh pihak penyumbang semasa menjalankan penghantaran bantuan yang terlibat,” katanya.

Exco Wira Warisan, Norazmi Hj. Alimat juga berpendapat arahan kerajaan GRS ini mungkin boleh melemahkan semangat dan membebankan pihak-pihak terlibat yang ingin membantu secara sukarela untuk terus menghulurkan misi bantuan mereka.

Malah beliau turut mempersoalkan arahan kerajaan GRS yang seolah-olah menidakkan pihak lain khususnya Parti Warisan dalam hal menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan.

NORAZMI ALIMAT

“Wajarlah kita bantu membantu sesama kita di kala musibah ini. Tunjukkan semangat kekitaan dan persaudaraan kita. Janganlah disekat atau dibebankan niat kita untuk menghulurkan bantuan.

“Selagi mana kita mengutamakan SOP keselamatan dan kesihatan dalam misi menghantar bantuan kepada pihak yang memerlukan maka ianya tidak akan menjadi masalah namun jika niat kita untuk menghantar bantuan dirumitkan dengan bebanan seperti arahan kerajaan GRS ini kita khuatir nanti rakyat akan berfikiran negatif terhadap kerajaan dan adakah mungkin ini adalah strategi GRS untuk menidakkan pihak lain khususnya Parti Warisan dalam hal menghulurkan bantuan kepada yang memerlukan ini?,” katanya.

Tegasnya lagi, perkara yang murni seperti penyerahan bantuan kepada yang memerlukan seharusnya tidak dipolitikkan.

“Kita mengharapkan agar pihak kerajaan GRS janganlah membuat arahan-arahan yang merumitkan dan tidak praktikal. Seharusnya hak dan keperluan mangsa-mangsa yang memerlukan bantuan ini harus diutamakan dan begitu juga hak-hak pihak yang ikhlas membantu ini patut dihormati.

“Jangan sampai nanti jika kita ingin menderma atau bersedekah ke masjid atau kepada fakir miskin pula perlu melalui prosedur arahan yang sama sehingga membantutkan hajat ikhlas penderma kepada asnaf/penerima yang memerlukan,” katanya.

Leave a comment

I'm Emily

Welcome to Nook, my cozy corner of the internet dedicated to all things homemade and delightful. Here, I invite you to join me on a journey of creativity, craftsmanship, and all things handmade with a touch of love. Let's get crafty!

Let's connect

Design a site like this with WordPress.com
Get started