
OLEH PEMBERITA SABAHTODAY
KOTA KINABALU: Mahkamah Pilihan Raya hari ini menolak petisyen pilihan raya kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Petagas yang difailkan calon Perikatan Nasional (PN), Arsit Sedi @ Sidik.
Arsit memfailkan petisyen bagi mencabar kemenangan calon Parti Warisan Sabah (Warisan) Awang Ahmad Sah Sahari.
Ini adalah petisyen kedua yang difailkan bagi mencabar kemenangan Ahmad Sah di kerusi DUN Petagas.
Hakim Dean Wayne Daly membuat keputusan menolak petisyen itu dan menerima bantahan awal dikemukakan peguam responden pertama dan peguam responden kedua dan ketiga selepas petisyen tersebut didapati mempunyai beberapa kelemahan dan tidak mematuhi peraturan berkaitan petisyen pilihan raya.

Dalam petisyen itu, Arsit menamakan Ahmad Sah sebagai responden pertama, pegawai pengurus pilihan raya DUN Petagas sebagai responden kedua dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebagai responden ketiga.
Peguam utama mewakili Ahmad Sah, Benjamin Chin mengemukakan 11 asas bagi membantah petisyen itu dan pihak Peguam Kanan Persekutuan yang mewakili responden kedua dan ketiga mengemukakan enam asas bantahan.
Benjamin dalam bantahannya memberitahu mahkamah bahawa Arsit tidak mematuhi peraturan petisyen termasuk membuat draf petisyen.
Untuk dakwaan berlaku amalan rasuah, terdapat pertikaian mengenai masa dan tarikh rasuah itu berlaku, identiti penerima, adakah perbuatan rasuah ini mempengaruhi penerima bagi mengundi responden pertama atau menentang Arsit.
Pihaknya juga mempertikaikan sama ada penerima rasuah adalah pengundi berdaftar atau mereka tidak mengundi dalam pilihan raya.
Ahmad Sah turut diwakili peguam Stella Simon dan Marianne Ghani.
Dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, Ahmad Sah memenangi kerusi DUN Petagas dengan majoriti 261 undi, setelah memperoleh 4,125 undi menewaskan Arsit selaku calon PN yang memperoleh 3,864 undi.
Kerusi DUN Petagas memperlihatkan persaingan enam penjuru dalam PRN Sabah pada 26 September 2020.
Pada Rabu, mahkamah turut menolak petisyen pilihan raya yang difailkan calon muflis dari Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) Jivol @ Edmund Doudilim yang mencabar kemenangan Ahmad Sah.

Leave a comment