
OLEH PEMBERITA SABAHTODAY
KOTA KINABALU: Kesan positif hasil polisi-polisi Warisan boleh dirasai hari ini, khususnya ketika harga minyak masak sedang melambung.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri Tanjung Aru, Datuk Junz Wong pada hari Jumaat, umum mengetahui harga sawit mentah (CPO) telah melambung, mengakibatkan harga minyak masak turut melambung.
“Harga minyak sawit mentah telah melambung. Ada yang kata ini baik untuk pemilik-pemilik ladang kelapa sawit dan membantu sumber hasil kewangan negeri, tetapi pada masa yang sama rakyat marhaen terbeban dengan harga minyak masak yang semakin tinggi.
“PKP dan perisytiharan darurat sudahlah memberi kesan buruk terhadap ekonomi rakyat. Kini, harga minyak masak yang diimport dari KL naik pula.
“Kos kehidupan semakin tinggi. Tengoklah rak-rak pasaraya tempatan. Jenama-jenama minyak masak dari KL seperti Helang Merah, Vesawit, Neptune, Buruh dan sebagainya sudah mencecah RM30 untuk botol 5kg.

“Dulu sekitar RM20. Sekarang sudah mencecah RM30.
Beliau menambah, kerajaan hari ini harus dipersalahkan kerana tidak prihatin.
“Kerajaan Persekutuan umum bantuan berjumlah berbilion-bilion ringgit, tapi harga barang-barang keperluan asas seperti minyak masak meningkat pula.
“Keluar tangan kiri, masuk tangan kanan? Tangan kiri hulur bantuan, tangan kanan kutip balik pula dari harga minyak masak yang lebih mahal?
“Sepatutnya Kerajaan ambil inisiatif mengurangkan harga barang-barang keperluan asas, khususnya dalam PKP ini.
“Tapi sebaliknya yang berlaku, kerana kerajaan hari ini kurang proaktif. Jangan salahkan peruncit atau pembekal kerana ini faktor-faktor pasaran.

“Tetapi sebagai kerajaan yang berkuasa, apakah langkah penyelesaian yang diambil oleh PN dan GRS? Jadi, yang harus dipersalahkan adalah kerajaan hari ini. GRS dan PN tidak ada inisiatif membantu rakyat. Mereka semua buat-buat tidak tahu.
“Keadaan ini sungguh berbeza berbanding era Warisan.
“Warisan laksanakan banyak idea dan polisi demi mengindustrikan Sabah.
“Warisan bangunkan kilang minyak masak BESS di Tawau pada bulan Februari tahun 2020. BESS adalah minyak masak pertama yang dibuat di Sabah.
“Kemudian kami bangunkan lagi kilang minyak masak GOLD di Sandakan pada bulan Julai 2020.
“Pada bulan September tahun 2020, lagi sebuah kilang minyak masak bernama Onsoi dibangunkan di Keningau.
Bekas Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah itu juga berkata, Sabahans amat malang kerana terpaksa bayar mahal-mahal untuk minyak masak, meskipun kelapa sawit ditanam di bumi Sabah.

“Sabah kaya dengan bahan-bahan asas seperti minyak sawit mentah. Tapi selama berdekad-dekad, Sabah eksport minyak sawit mentah ke KL, kemudian kilangkan menjadi minyak masak di KL, akhirnya import balik lagi minyak masak masuk ke Sabah.
“Akhirnya Sabahans bayar mahal-mahal untuk beli minyak masak, walaupun pokok kelapa sawit itu kita tanam sendiri.
“Industri-industri hiliran di KL kaut semua keuntungan dari Sabahans walaupun minyak sawit mentah itu dari Sabah.
“Kami di Warisan sedar tentang isu ini. Sebab itu Presiden Warisan Datuk Seri Shafie Apdal yang berpandangan jauh, telah melancarkan BESS, Gold dan Onsoi ketika menjadi Ketua Menteri.
“Warisan berjaya membangunkan industri-industri hiliran. Warisan juga berjaya mewujudkan pekerjaan-pekerjaan baharu. Kini, pada ketika harga minyak masak yang diimport dari KL melambung, rakyat Sabah masih ada BESS sebagai alternatif yang lebih murah.
“Masuklah mana-mana pasaraya. Kamu boleh nampak harga minyak masak dari KL yang dahulunya hanya RM20 lebih semua sudah mencecah RM30.
“Tapi sebab Warisan, Sabahans masih ada BESS sebagai alternatif.
“Harga BESS masih di sekitar RM20 kerana kurang dipengaruhi faktor-faktor pasaran luar.
“Demikianlah impak positif dari 26 bulan pemerintahan Warisan.”

Leave a comment