
OLEH PEMBERITA SABAHTODAY
KOTA KINABALU: Presiden Parti Warisan Sabah (WARISAN), Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie Apdal tidak akan mengambil tindakan undang-undang bagi mencabar keputusan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berhubung pengisytiharan darurat.
Mohd Shafie yang juga Ahli Parlimen Semporna sebaliknya berkata, beliau dan Ahli Parlimen Warisan yang lain hanya menghantar surat rayuan bagi meminta perkenan baginda mengugurkan pengisytiharan darurat itu.
“Saya sudah hantar surat dengan Yang di-Pertuan Agong bersama semua Ahli Parlimen Warisan.

“Kita merayu pada Tuanku, kalau boleh darurat ini ditiadakan oleh kerana langkah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) merupakan langkah yang mencukupi untuk membendung keadaan yang ada,” katanya ketika ditemui pemberita di Kampung Tanjung Aru, di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas pendirian Warisan berhubung mencabar pengistiharan daurat di mahkamah.
Tambah beliau lagi, surat itu bukan sebagai desakan sebaliknya hanya rayuan mereka sebagai Ahli Parlimen Pembangkang.

“Kebimbangan saya adalah dari sudut perundangan, dalam perlembagaan walaupun dibolehkan darurat itu diumumkan atas dasar keselamatan sebuah negara dan pandemik kesihatan yang begitu membimbangkan tetapi bagi kita untuk isytihar darurat, ini bukan masa yang sesuai.
“Jadi kita merayu, bukan kita desak, kita akur dengan sebarang keputusan yang dilakukan Tuanku, cuma kita berpandangan selaku Ahli Parlimen pembangkang, perlu kita suburkan dari segi perundangan di negara ini,” katanya.
Katanya lagi, politik bukan menjadi keutamaan ketika ini tetapi selamatkan nyawa rakyat dan ekonomi negara adalah perkara penting.

“Kita banyakkan beri bantuan kesihatan dan keselamatan. Jangan banyakkan sangat politik,” katanya.
Terdahulu, antara Ahli Parlimen daripada Warisan yang menghantar surat berkenaan adalah Ahli Parlimen Labuan, Datuk Rozman Isli; Ahli Parlimen Kota Belud, Innaraissah Munirah Majilis; Ahli Parlimen Sepanggar, Datuk Mohd Azis Jamman.
Selain itu, Ahli Parlimen Penampang, Datuk Darell Leiking; Ahli Parlimen Papar, Ahmad Hassan; Ahli Parlimen Lahad Datu, Datuk Mohamaddin Ketapi dan Ahli Parlimen, Ma’mun Sulaiman.
Sabtu lalu, ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, akan mencabar langkah pengisytiharan darurat yang dibuat kerajaan di mahkamah.

Beliau kemudian turut mendakwa majoriti Ahli Parlimen sudah mengutus warkah kepada Yang di-Pertuan Agong bagi meminta perkenan baginda menggugurkan pengisytiharan darurat.
Sementara itu, mengulas berhubung lawatannya hari ini, Mohd Shafie yang juga bekas Ketua Menteri Sabah meminta setiap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Warisan menunaikan tanggungjawab mereka di kawasan masing-masing dengan membantu keluarga yang terjejas akibat banjir atau fenomena air pasang yang berlaku baru-baru ini.
“Kita ambil beberapa langkah setiap ADUN dan pimpinan komponen kita menunaikan tanggungjawab berjumpa pengundi masing-masing dengan memberi bantuan dari segi bakul makanan terutama di kawasan di landa banjir dan terputus jalan seperti di Sepanggar, Pitas dan Kudat yang terjejas.
“Hari ini di Tanjung Aru yang turut terjejas akibat bencana turut diberi perhatian melalui wakil rakyatnya, Datuk Junz Wong bertungkus lumus membantu masyarakat setempat,” katanya.

Leave a comment