
OLEH PEMBERITA SABAHTODAY
KOTA KINABALU: Kehadiran Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parti Warisan Sabah (Warisan) dalam mesyuarat bersama Presiden, Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie Apdal hari ini jelas membuktikan spekulasi yang dimainkan pihak lawan tidak benar.
Walau cubaan membeli ADUN Warisan masih lagi berlaku namun, kehadiran ADUN dan Ahli Parlimen Warisan hari ini membuktikan mereka masih berdiri teguh dengan perjuangan parti Warisan.
Mohd Shafie berkata, dalam politik kalau orang sudah tidak setuju maka, jangan paksa. Jangan beri tekanan dan jangan beli.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai cubaan memancing ADUN Warisan di negeri ini.
Katanya, jika dilihat semasa Warisan membentuk kerajaan, Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) datang menyertai Warisan secara suka rela tanpa dipaksa dan tidak diberi tawaran wang.
Namun, kerajaan hari ini (Gabungan Rakyat Sabah) dilihat mempunyai wang untuk membeli ADUN.
Atas sebab itu, beliau mengingatkan ADUN Warisan untuk fokus membantu rakyat di kawasan masing-masing.

“Kita tahu pilihan raya negeri sudah berlalu namun, spekulasi masih dilakukan pihak lawan dan tekanan masih dihadapi,” katanya semasa sidang media sempena mesyuarat bersama ADUN dan Ahli Parlimen Warisan.
Untuk enam ADUN yang didakwa akan meninggalkan parti, mereka secara peribadi telah menghubunginya untuk memberitahu spekulasi itu tidak benar kerana mereka setia bersama perjuangan Warisan.
Menyentuh tentang undang-undang anti-lompat parti yang dicadangkan Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sabah, Mohd Shafie berkata, penggubalan undang-undang anti-lompat parti itu perlu diteliti secara mendalam kerana ia bercanggah dengan sebahagian undang-undang yang ada.

Dalam pada itu, beliau akan turut mengadakan pertemuan bersama ADUN DAP, PKR dan UPKO bagi menerangkan dan menjelaskan perkara yang berhubung kait dengan cabaran dan tekanan yang dihadapi ketika ini.
Beliau berkata, negara berdepan dengan Covid-19 dan ekonomi yang sangat mencabar dimana hampir 700,000 orang kehilangan pekerjaan dan keadaan ini membimbangkan.
Maka, perhatian seharusnya diberikan dalam membantu golongan yang terkesan dengan Covid-19 dan keadaan ekonomi semasa.
BERITA BERKAITAN: –
Video ADUN Sebatik Berikrar Atas Nama Allah Setia Kepada WARISAN, Sedia Letak Jawatan Didedah
WARISAN Akan Serah Surat Peletakan Jawatan ADUN Sebatik Kepada Speaker DUN

Leave a comment