
OLEH PEMBERITA SABAHTODAY
KOTA KINABALU: Wira Parti Warisan Sabah (Warisan) membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) cawangan Sabah berhubung isu keluar parti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebatik.
Timbalan Ketua Wira Warisan, Ismail Ayub berkata, aduan serta sembilan dokumen telah diserahkan kepada SPRM bagi membolehkan suruhanjaya itu menjalankan siasatan mengenai kes berkenaan.
Beliau berkata, aduan yang dibuat telah diterima SPRM dan mereka serahkan kepada SPRM untuk menjalankan siasatan terhadap ADUN Sebatik, Hassan A Gani Pg Amir yang bertindak keluar Warisan pada 25 Feb lalu bagi menjadi ADUN Bebas yang menyokong Gabungan Rakyat Sabah.
Katanya, mereka turut menyertakan dokumen yang ditandatangani secara sukarela oleh ADUN Sebatik ketika beliau bersetuju menjadi calon Warisan dalam pilihan raya negeri lalu.
“Dokumen itu ditandatangan ssecara sukarela tanpa paksaan atau tekanan dari mana-mana pihak dan penama juga membaca ikrar dalam rakaman video yang direkodkan.
“YB Hassan membuat kenyataan bahawa dia membuat ikrar kerana paksaan. Kalau tidak buat, dia tidak akan menjadi calon.
Tolak Perletakan Jawatan ADUN Sebatik, Warisan Ambil Tindakan Undang-Undang
“Namun, menerusi video tersebut secara jelas menunjukkan, tiada sebarang paksaan, tiada senjata api dihalakan kepadanya atau orang-orang di depannya menggunakan keganasan serta mengugut.
“Kita persoalkan kenyataannya bahawa dia terpaksa (tandatangan) kerana ingin menjadi calon,” katanya kepada media selepas membuat aduan di Pejabat SPRM, hari ini.
Ismail berkata, mereka tampil untuk mempertahankan bahawa mandat yang diberikan rakyat di Sebatik itu adalah untuk Parti Warisan dan bukannya YB Hassan.
Dalam pada itu, beliau berkata, Wira Warisan menghormati keputusan Speaker DUN yang mengekalkan YB Hassan sebagai ADUN Sebatik.
Namun, dalam masa sama, mereka tetap menegakkan hak bahawa tiada paksaan diberikan kepada YB Hassan untuk tandatangan ikrar kesetiaan terhadap parti.
Menurutnya, Setiausaha Agung Warisan Datuk Loretto S.Padua akan mengambil tindakan perundangan terhadap YB Hassan yang bertindak keluar dari Warisan biarpun sudah mengangkat sumpah ikrar kesetiaan.
“Kita menunggau keputusan pucuk pimpinan dan kita yakin peguam-peguam Warisan akan menjalankan tanggungjawab selaras dengan perundang yang ada mengikut perlembagaan yang ada di negeri Sabah dan Malaysia,” jelasnya.
Pada Rabu, Speaker DUN Sabah Datuk Kadzim M Yahya memutuskan surat perletakan jawatan ADUN Sebatik yang dikemukakan parti Warisan tidak sah dan efektif kerana tidak selari dengan perundangan yang ada sekarang.
Kadzim berkata, berdasarkan undang-undang sekarang, sebarang surat perletakan jawatan yang ditandatangani tidak bertarikh adalah tidak sah. Malah, ADUN Sebatik sendiri telah menarik balik dan membatalkan apa yang dinyatakan dalam surat yang ditandatangani sebelum ini.

Leave a comment