
OLEH PEMBERITA SABAHTODAY
KOTA KINABALU: Tidak habis dengan isu Ahli Parlimen (MP) PKR di Sabah yang dikatakan akan keluar parti bagi menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN), kini giliran Ahli Parlimen Parti Tindakan Demokratik (DAP) dikatakan melompat parti.
Khabar angin menyatakan Ahli Parlimen DAP Tenom, Noorita Sual akan melompat parti dinafikan sekerasnya oleh Ahli Parlimen tersebut.
Beliau berkata, itu adalah berita palsu kerana beliau masih setia dalam perjuangan bersama DAP.
“Saya tidak akan khianati mandat rakyat dan mandat yang parti berikan kepada saya dalam pilihan raya umum (PRU) lalu,” katanya ketika dihubungi.
Noorita dikatakan antara dua MP DAP akan melompat bagi memberi sokongan kepada kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddi Yassin.

ADUN Tenom dan seorang lagi rakan seperjuangannya dalam DAP iaitu Ahli Parlimen Mas Gading (Sarawak), Mordi Bimol dikhabarkan dilihat bersama seorang individu yang terkenal dalam siri pembelian Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) di sebuah kafe terkemuka di Kuala Lumpur.
Penafian yang dibuat ADUN Tenom itu memberi gambaran jelas bahawa apa yang dilaporkan semalam hanyalah satu khabar angin yang tidak sahih.
Pada 2 Mac lalu, Ahli Parlimen Putatan, Awang Husaini Sahari turut menafikan dakwaan beliau meninggalkan PKR bagi menyokong PN.
Katanya, tuduhan itu tidak berasas dan hanya untuk memburukkan nama baiknya.
Isu MP PH melompat parti itu timbul selepas dua MP PKR iaitu Ahli Parlimen Julau (Sarawak) Larry Sng dan Ahli Parlimen Tebrau (Johor) Stephen Choong bertindak keluar parti pada 28 Feb lalu bagi menyokong kerajaan pimpinan Muhyiddin.

Leave a comment