
OLEH PEMBERITA SABAHTODAY
KOTA KINABALU: Mengharapkan bantuan Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar yang juga Menteri Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk menyelesaikan masalah air umpama menunggu ayam jantan bertelur.
Itulah gambaran kekecewaan yang diluahkan seorang penduduk University Apartment 1 selepas Bung yang merupakan menteri bertanggungjawab menguruskan Jabatan Air Sabah langsung tidak menghiraukan masalah ketiadaan bekalan air di kawasan itu sejak beberapa minggu lalu.
Penduduk berkenaan, Baizurah Basri berkata, mereka juga telah menghubungi Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Masidi Manjun, namun beliau juga tidak melakukan apa-apa.
“Kesimpulan saya, setelah berminggu-minggu kami bergelut dengan isu air, kami telah hubungi semua yang kami boleh hubungi termasuk DSP Masidi Manjun dan DS Bung Mokhtar.
“Akhirnya wakil Warisan saja yang turun mendengar dan cuba untuk menyelesaikan isu.

Jadi? Sabah Tukar Balik?,” katanya melalui laman Facebook.
Baizurah berkata, isu tersebut bagaimanapun menerima perhatian Ahli Parlimen Sepanggar, Datuk Mohd. Azis Jamman yang segera berkunjung ke tempat itu untuk melihat masalah yang berlaku serta mencari jalan penyelesaian.
Namun katanya, tiada wakil daripada Jabatan Air Sabah bersama beliau menyebabkan Baizurah menyindir agensi tersebut sebagai ‘Jabatan Bunian’.
“Datuk Azis datang terus dari lapangan terbang. Dia baru sahaja sampai dari Kuala Lunour. Beliau ditemani Peto Galim (ADUN Inanam) untuk berbincang masalah di University Apartment 1.
“Malangnya Jabatan Air tidak datang (perlukah saya bergurau tentang Jabatan Bunian lagi? Itu gurauan lama!), maka tiada penyelesaian dapat dibuat.
“Datuk Azis akan mengatur pertemuan dengan Jabatan Air sekali lagi,” katanya.

Leave a comment