
OLEH SHAFIE APDAL
KOMEN: Kerajaan Perikatan Nasional (PN) digesa memandang serius risiko jurang pendidikan yang semakin melebar antara murid di bandar dan luar bandar terutama sekali kesan pasca pandemik Covid-19. Pelajaran paling berguna yang boleh kita perolehi daripada pandemik Covid-19 ini ialah kelemahan kadar capaian internet dan liputan telekomunikasi dalam negara kita.
Kelemahan capaian internet yang terpaksa dihadapi oleh para guru dan murid semasa menjalankan pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) secara dalam talian bukan sahaja berlaku di kawasan pendalaman di negeri utara semenanjung atau di sebelah pantai timur Malaysia malah ia juga berlaku di kawasan bandar.
2.Peningkatan capaian internet di bandar dan luar bandar mesti berjalan seiring dengan penyediaan alat bantu belajar kepada murid. Murid-murid hari ini terutama daripada keluarga B40 sangat memerlukan bantuan peranti untuk akses kepada kemudahan pendidikan dalam talian.
Oleh sebab itu, Kerajaan PN digesa untuk menyegerakan pemberian komputer riba kepada 150,000 murid di 500 sekolah rintis seperti mana yang diumumkan dalam pembentangan Belanjawan 2021. Kerajaan PN dituntut untuk mempercepatkan penyerahan 150,000 komputer riba kepada anak-anak dari keluarga B40 seperti yang dijanjikan.
Walaupun pemberian peranti ini akan menjadi penyelesaian untuk jangka masa pendek, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) juga perlu untuk terus menambah baik kandungan DidikTV KPM.
3.Kerajaan PN menerusi Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) juga digesa dari semasa ke semasa untuk menyediakan kursus dan latihan kepada para guru supaya mereka dapat dilengkapkan dengan kemahiran terkini dan memanfaatkan ICT dalam meningkatkan kualiti pembelajaran mereka di dalam kelas.
Pemberian latihan kepada guru ini sangat penting terutama kerana mereka juga terpaksa berhadapan dengan norma baharu pengajaran dan pembelajaran di sekolah serta keperluan untuk menguasai kemahiran ICT dengan cepat.
4.KPM juga disaran untuk mewujudkan sukatan pelajaran berkaitan platform digital selari dengan perkembangan semasa setelah banyak institusi pendidikan mula beralih kepada sistem pengajaran secara dalam talian dan dunia korporat pasca Covid-19 yang mula memilih menggunakan ruang digital, mempunyai kurikulum pendidikan yang menggabungkan pengekodan dan pemasaran digital adalah penting.
Perubahan strategik ini mungkin merupakan keputusan yang sukar untuk dilakukan hari ini, namun ianya akan memberi manfaat buat generasi akan datang.
5.Ratusan jutaan ringgit telah dibazirkan tanpa mendatangkan sebarang impak positif bagi mengurangkan jurang pendidikan antara murid di bandar dan luar bandar. Sebuah plan tindakan komprehensif yang melibatkan semua pemegang taruh perlu dilaksanakan dengan segera.
Sistem penyampaian serta perlaksanaan juga perlu diperbaiki supaya ianya menjadi lebih telus. Sekolah-sekolah daif di kawasan pendalaman mesti segera dibaiki dan dinaik taraf termasuk melengkapkannya dengan infrastruktur yang asas dan membekalkan sumber elektrtik alternatif seperti tenaga solar dan set penjana elektrik.
6.Saya menggesa Kerajaan PN segera mengatasi masalah capaian internet terutama di kawasan sekitar sekolah, memberikan komputer riba kepada 150,000 murid seperti yang dijanjikan dan mengambil inisiatif memberikan latihan untuk meningkatkan kemahiran guru di sekolah.
Perubahan secara holistik ini akan dapat memperbaiki kehidupan dan menjamin masa depan anak-anak kita di PPR Sentul yang turut sama menghadapi masalah capaian internet seperti rakan sebaya mereka di Sabah, anak-anak keluarga para petani dan nelayan di Kedah dan di Terengganu atau anak penjual char kuetiau di tepi jalan – kesemua mereka adalah anak-anak kita, anak-anak saya juga.
- Shafie Apdal ialan Ahli Parlimen Semporna dan Presiden Parti Warisan Sabah

Leave a comment