
OLEH PEMBERITA SABAHTODAY
KOTA KINABALU: Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) mengalu-alukan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang membenarkan penggunaan perkataan Allah dalam penerbitan agama Kristian kerana akhirnya memberi penyelesaian kepada isu tersebut.
Presidennya, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau berkata, isu berkenaan mendapat perhatian rakyat Malaysia dan mencetuskan kontroversi serta perdebatan sejak bertahun lamanya kerana dipolitikkan oleh pihak tertentu kononnya menyentuh sensitiviti dan hak kaum tertentu walaupun hakikatnya perkara itu membabitkan isu perundangan dan Perlembagaan.
Menurut beliau, keputusan Mahkamah Tinggi itu berasaskan perkara-perkara asas dan perlu diterima.
“Ia adalah aspirasi untuk Sabahan dalam mempertahankan kebebasan beragama seperti dinyatakan dalam Batu Bersumpah Penubuhan Malaysia. Mahkamah akhirnya mengiktiraf kepentingan aspirasi itu.
“Kami berharap kenyataan Perikatan Nasional (PN) yang menggesa Kerajaan Persekutuan merayu keputusan itu adalah berasaskan kepada peruntukan undang-undang bukannya memainkan sentimen kaum dan agama tertentu untuk meraih sokongan politik atau manfaat Muafakat Nasional semata-mata,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kenyataan tersebut turut disokong Senator Donald Mojuntin daripada UPKO dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian, Datuk Ewon Bennedick.
Madius berkata, amat dirisaukan kerana UMNO dan PAS merupakan sebahagian daripada Kerajaan Persekutuan justeru timbul persoalan dalam keputusan Pejabat Peguam Negara untuk merayu kes berkenaan sama ada dibuat secara bebas dan berdasarkan keputusan hakim.
Sehubungan itu, beliau berharap langkah yang diambil akan menghormati keputusan Mahkamah Tinggi.

“UPKO sentiasa percaya kepada usaha mempertahankan hak-hak di dalam Perlembagaan bagi setiap rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa atau agama. Kami percaya kepada nilai hormat, tolertansi dan belas kasihan sebagai dasar kepada masyarakat membolehkan Malaysia lebih maju dengan rakyat yang bersatu.
“Pemimpin UPKO dan semua ahlinya di seluruh negara bersama penganut lain yang mempercayai Allah dalam doa harian untuk kesinambungan kedamaian dan keharmonian di tanah air kita,” katanya.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin yang memberi respon kepada keputusan itu hari ini berkata, kementeriannya akan melihat daripada sudut perundangan untuk merayu kes berkenaan.
Beliau berharap tiada mana-mana pihak yang membuat spekulasi terhadap perkara itu atau membuat andaian sendiri.
Sementara itu, aktivis sosial Sarawak, Peter Kallang berkata, keputusan Mahkamah Tinggi itu yang bertujuan untuk pendidikan keagamaan harus dihormati dan diterima semua pihak.
Katanya, isu berkenaan tidak perlu dipanjangkan lagi sehingga ke Mahkamah Rayuan atau Mahkamah Persekutuan bagi memastikan keharmonian semua kaum.

Leave a comment